KUALA LANGAT: Sasaran 10 tan sampah ditetapkan syarikat Pengurusan Sisa Pepejal Pintar, KDEB Waste Management (KDEBWM) dalam masa sebulan untuk memastikan kebersihan pusat peranginan Pantai Baharu Morib.
Tahap kebersihan dapat di tempat tumpuan pengunjung itu disasarkan demikian selepas dua buah mesin khas bernilai RM160,000 diletakkan di sana sebagai kaedah inovatif untuk mengutip sampah di atas kawasan seluas 4,400 meter persegi secara berterusan dan efektif.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEB Waste Management, Ahmad Rizal Mohd. Daud berkata, kaedah itu diperkenalkan selepas kutipan secara manual memakan masa untuk memastikan kebersihan kawasan pantai tersebut.
“Ini merupakan projek perintis pertama pembersihan pantai pihak KDEBWM dengan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan kita dilantik untuk melakukan kutipan di pantai ini sejak dua bulan lalu.
“Dengan dua mesin ini kita boleh menjimatkan tenaga buruh daripada tujuh kepada seorang sahaja. Kita berharap dengan adanya dua mesin kutipan sampah bernilai RM160,000 yang kita serahkan hari ini kutipan akan dapat dilakukan dengan lebih efisien dan produktif,” katanya ditemui pemberita hari ini.
Beliau menambah, sebagai sebuah syarikat pengurusan perkhidmatan sisa pepejal pintar, KDEBWM sentiasa meneroka peluang dalam bidang kemampanan, digital dan teknologi terkini bagi menambah baik operasi syarikat.
Sementara itu Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim memaklumkan kebersihan Pantai Baharu Morib dapat dipastikan dengan kaedah kutipan sampah yang lebih sistematik bagi menjamin keselesaan pelancong.
“Penggunaan ‘Glutton Electric Little Picker’ misalnya adalah jentera mengutip sampah elektrik sifar pelepasan karbon selari dengan usaha syarikat memacu penggunaan teknologi hijau dalam masa sama mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),”katanya.
Dalam program tersebut, pihak KDEBWM turut menyerahkan sebanyak 47,495 unit tong sampah 120 liter secara berperingkat dalam usaha mengekalkan kebersihan kawasan Daerah Kuala Langat. – UTUSAN