Kualiti pendidikan tinggi negara diiktiraf serata dunia

Kualiti pendidikan tinggi negara diiktiraf serata dunia

MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA:  Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sudah memulakan komunikasi awal dengan beberapa badan akreditasi pendidikan di luar negara sebagai langkah mempromosikan kualiti pendidikan tinggi negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, ia membabitkan badan akreditasi dari Afrika, Amerika Selatan, Asia Barat dan Asia Tengah bagi menjadikan Malaysia sebagai hab utama pendidikan pelajar serata dunia.

“Malaysia mampu menjadi pilihan berdasarkan kualiti pendidikan tinggi di negara ini yang kini berada pada tahap baik.

“Kebiasaanya, pelajar selalunya berminat untuk mengikuti pengajian di sesebuah negara berdasarkan reputasi pendidikan tinggi negara berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, usaha dilakukan MQA juga selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat.

Mohammad Shatar berkata, Malaysia juga mendapat pengiktirafan dan mempunyai jaringan yang baik dalam kalangan badan akreditasi global, malah sering dijemput untuk berkongsi pengalaman.

Menurutnya, MQA juga akan terus menjalin kerjasama dengan IPT tempatan tidak mengira awam atau swasta serta agensi lain di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mempromosikan pendidikan tinggi negara.

“Malaysia menjadi antara ‘pemain utama’ dalam pembangunan Kerangka Rujukan Kelayakan ASEAN (AQRF) dan diberi mandat untuk menerajui persatuan badan jaminan kualiti dalam kalangan dunia Islam, Association of Quality Assurance Agencies of the Islamic World (IQA).

“Dalam penawaran program ‘Micro-Credentials’ pula, Malaysia muncul antara destinasi utama dunia dan turut disebut-sebut oleh majoriti panelis dalam webinar anjuran Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), baru-baru ini,” katanya.

Katanya, selain kualiti pendidikan, kos sara hidup dan infrastruktur di kampus serta tahap keselamatan turut menjadi faktor utama yang menjadi daya penarik pelajar antarabangsa untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pengajian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya