KPM ajak NGO bincang, selesai isu keciciran pelajar - Utusan Malaysia

KPM ajak NGO bincang, selesai isu keciciran pelajar

FADHLINA Sidek (tengah) pada program Pasar Percuma Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Panchor, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Kementerian Pelajaran mengajak mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berbincang menangani masalah keciciran pelajaran dalam kalangan pelajar secara lebih holistik.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan mengambil kira setiap pandangan daripada NGO berhubung isu itu selaras dengan teras utama kementerian yang ingin memastikan masalah pelajar tercicir dalam pendidikan di sekolah dapat diatasi segera.

“Kita memang maklum (mengenai maklum balas) daripada semua pihak yang mengadakan kajian mengenai isu keciciran pelajar di kawasan mereka. Justeru, kita mohon pihak terlibat (NGO) rujuk kementerian bersama data hasil kajian (untuk tindakan selanjutnya).

“Dengan ini, kita boleh buat intervensi bersama (NGO) seterusnya melihat sama ada program yang dilakukan kementerian bagi mengatasi keciciran pelajar itu efektif atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Pasar Percuma Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Panchor, di sini hari ini.

Fadhlina mengulas saranan Ketua Pegawai Eksekutif Untuk Malaysia, Zul Fikri Zamir supaya Kemeterian Pendidikan merangka satu pelan pemulihan untuk membimbing pelajar sekolah yang tercicir dalam sistem pendidikan nasional secara keseluruhannya.

Kata Zul Fikri, hal itu disebabkan kajian di lapangan mendapati hampir 100,000 pelajar dianggap tercicir daripada sistem pendidikan dan ia realiti yang amat membimbangkan.

Dalam pada itu, Fadhlina menambah, pihak kementerian sememangnya mempunyai langkah bagi menangani isu keciciran pelajar dan kini dalam proses mendapatkan input berkaitan.

“Memandangkan kita belum ada data mengenai jumlah sebenar pelajar yang tercicir, jadi kita jemput NGO yang melakukan kajian ini untuk berbincang bagi mengambil tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya