SHAH ALAM: Sektor koperasi sekolah mampu mencapai perolehan lebih RM400 juta tahun ini selepas mengalami penyusutan ketara sejak pandemik Covid-19.
Unjuran tersebut boleh dicapai berdasarkan angka RM211.6 juta disumbang oleh koperasi berkenaan menerusi laporan statistik interim Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada tahun lalu.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, keyakinan itu bersandarkan pertumbuhan ekonomi dan kepelbagaian perniagaan dijalankan koperasi tersebut.
“Jumlah itu dianggap rendah berbanding sebelum pandemik yang pernah mencecah hampir RM400 juta setahun.
“Namun, kita yakin perolehan tahun ini akan melebihi jumlah itu menerusi penglibatan serius semua pihak termasuk kementerian dan agensi berkaitan,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Hari Koperasi Sekolah (HKS), malam tadi.
Berdasarkan statistik Interim itu, koperasi berkenaan kini dianggotai lebih 1.9 juta orang di 2,473 sekolah di seluruh negara.
Jelas Abdul Fattah, koperasi itu menjadi platform kepada pelajar mendapat latihan keusahawanan dan memupuk nilai kerjasama, kesaksamaan dan perpaduan.
“Walaupun Angkasa menekankan perolehan, ia tidak bermakna kita cuba untuk mengkomersialkan koperasi sekolah. Koperasi itu berpotensi menjana pendapatan tanpa mengganggu pembelajaran dalam kelas dan mampu memberi latihan yang berkesan di luar kelas,” ujarnya.
Tambah beliau, penjanaan itu bukan untuk keuntungan semata-mata malah koperasi dapat menjual keperluan pelajar, guru dan sekolah pada harga lebih murah.
“Selain meringan beban, keuntungan yang diperoleh akan dipulangkan dalam bentuk dividen selain membantu sekolah menyediakan kemudahan kepada pelajar. Ia juga mengurangkan kebergantungan sekolah kepada kerajaan bagi pembiayaan prasarana,” katanya. – UTUSAN