Kontrak JKKK Perlis disambung sehingga Februari depan - Utusan Malaysia

Kontrak JKKK Perlis disambung sehingga Februari depan

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan menyambung kontrak lantikan seramai 387 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedia ada di Perlis sehingga bulan hadapan.

Lantikan baharu bagi jawatan itu akan dibuat sepenuhnya selepas pembentangan Bajet 2023 oleh Kerajaan Pusat pada 24 Februari depan.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pemilihan calon bagi mengisi jawatan itu terdiri daripada pelbagai latar belakang parti politik dan kaum bagi memudahkan rakyat negeri ini untuk berurusan dengan pihak terlibat.

“Untuk pelantikan kali ini, kita akan berpandukan kepada arahan Kerajaan Pusat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri juga masih di peringkat perbincangan secara menyeluruh bagi memutuskan calon-calon yang bersesuaian mengisi jawatan itu.

Beliau berkata, pihaknya berharap agar JKKK sedia ada yang disambung kontrak sehingga bulan hadapan dapat memberikan perkhidmatan dengan sebaiknya demi kebaikan rakyat negeri ini.

“Semua JKKK sedia ada ini akan disambung tugas mengikut kontrak secara bulanan sehinggalah selesainya pelantikan baharu selepas ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lantikan ahli Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Mohd Shukri berkata, senarai nama calon terlibat telah dihantar dan kini sedang berada dalam proses tapisan melibatkan beberapa agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Insolvensi Malaysia dan beberapa lagi.

Tambahnya, selepas mendapat kelulusan MPK, nama semua calon terlibat akan diangkat pula ke peringkat Exco kerajaan negeri.

“Kita menyerahkan senarai nama 24 orang calon terdiri daripada semua golongan membabitkan badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat Siam, Cina dan lain-lain,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya