KANGAR : Konsep Malaysia Madani yang akan dipratikkan dalam pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat baik namun perlu dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pendekatan tersebut perlu dilaksanakan secara menyeluruh bukan hanya mengambil separuh-separuh sahaja.
Justeru, kata Mohd. Shukri, kerajaan negeri juga tidak menolak kemungkinan menggunakan pendekatan sama dalam pentadbiran.
“Konsep tersebut (Madani) sangat baik namun ia perlu dilaksanakan sepenuhnya, jangan ambil separuh-separuh. Seperti arak, judi haram perlu dilihat semula agar bertepatan dengan konsep Madani itu
“Saya sangat suka konsep dilaksanakan kerajaan Pusat ini dan akan laksana di peringkat negeri, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas program walkabout di Kompleks Kemudahan Pelancongan Kuala Perlis di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Anwar melancarkan Malaysia Madani, konsep kehidupan dan pengurusan yang mula ditonjolkan Perdana Menteri sejak 1970- an.
Ia adalah satu pendekatan yang akan menjadi tunjang dan garis panduan dalam mengemudi negara sebagai hala tuju Kerajaan Perpaduan pada tahun ini dan mendatang.
Konsep Madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan, dirangkul peradaban yang dicitakan dengan ditakrifkan dengan sebuah konsep mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati, punyai keyakinan dan bersifat ihsan.
Perdana Menteri sebelum ini juga memperkenalkan konsep pentadbiran masing-masing. Sebagai contoh, Datuk Seri Ismail Yaakob mempromosi Keluarga Malaysia; Tan Sri Muhyiddin Yassin – Kerajaan Prihatin; Datuk Seri Najib Tun Razak – 1 Malaysia dan Tun Abdullah Ahmad Badawi – Islam Hadhari.
Tambah Mohd. Shukri, konsep yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini seperti Keluarga Malaysia; Kerajaan Prihatin dan 1 Malaysia termasuk terbaharu Madani semua disifatkan cukup baik.
“Cuma cari pelaksanaan yang maksimumkan kesejahteraan rakyat,” katanya.-UTUSAN