PETALING JAYA: Pelakon, Riz Amin menasihatkan rakan artis, terutama generasi baharu untuk tidak takut bersuara sekiranya ada pihak yang menekan dan melenjan sehingga terpaksa bekerja lebih masa dengan bayaran tidak setimpal.
Jelas pelakon Polis Evo 2 itu, ada pelakon dan kru produksi takut bersuara kerana bimbang ‘disenarai hitam’ dan dianggap sebagai demand oleh segelintir penerbit.
“Isu waktu kerja panjang tetapi bayaran sedikit sudah lama disuarakan. Namun, tiada sebarang tindakan. Bukan pelakon sahaja dilenjan, sebaliknya pengarah dan kru produksi yang terpaksa ada untuk setiap babak lebih tertekan.
“Saya pernah berdepan situasi itu. Apabila kita bersuara, mulalah ada cakap-cakap belakang kata kita demand atau berlagak diva. Kerja dari pukul 9 pagi hingga 5 pagi atas alasan dibayar harian.
“Kita boleh bersuara, jangan takut. Tetapi, biarlah secara profesional. Takut nanti jatuh fitnah dan bawa padah lebih besar,” katanya.
Isu kerja lebih masa dalam industri kreatif, terutama lakonan menjadi perbualan hangat apabila rata-rata artis tidak bersetuju dan meminta pihak bertanggungjawab memantau serta mencari penyelesaian untuk masalah tersebut.
Selain Riz, ramai pelakon lain, termasuk Sharnaaz Ahmad, Rozita Che Wan dan Janna Nick antara yang berani bersuara berhubung isu tersebut.
Dalam pada itu, Riz berkata, isu bayaran tidak setimpal juga antara yang perlu diselesaikan, terutama dalam situasi ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat hari demi hari.
“Bayaran tidak setimpal ini bukan hanya berlaku dalam dunia seni, malah industri lain pun berdepan perkara sama. Ada kena kerja sampai lewat malam, mahu hasil berkualiti tetapi bayarannya, sekadar mencukupi.
“Tidak boleh begitu. Kita kerja dengan penuh dedikasi, jadi tidak boleh ambil kesempatan di atas komitmen kami. Kos sara hidup juga semakin meningkat,” ujarnya. – UTUSAN