Kikis stigma lapuk TVET kelas pengajian kedua - MQA

Kikis stigma lapuk TVET kelas pengajian kedua – MQA

MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Persepsi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai bidang pengajian kelas kedua adalah pandangan lapuk, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai antara laluan utama kerjaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, hal itu terbukti apabila kadar kebolehpasaran graduan TVET mencecah mencecah lebih 90 peratus setiap tahun.

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus mencerminkan lulusan program TVET mendapat permintaan tinggi daripada industri.

“Stigma bahawa program TVET hanya untuk individu kurang cemerlang dalam akademik masih menebal dalam kalangan masyarakat berbanding program akademik lain di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

“Persepsi ini perlu diubah. Kami di MQA giat menjalankan kerjasama dengan badan akreditasi luar negara terutama yang mempunyai pendidikan TVET berkualiti tinggi di samping memastikan kualiti programnya berada pada tahap terbaik.

“Selaku badan tunggal akreditasi pengajian tinggi negara, MQA sentiasa berusaha memastikan dan meningkatkan kualiti TVET di negara ini supaya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan institusi TVET terkemuka dunia,” katanya.

Katanya, kualiti pengajian tinggi di negara ini sentiasa diberi penekanan dan berada pada tahap terbaik tanpa mengira jenis institusi.

Mohammad Shatar berkata, MQA tidak akan sekali-kali berkompromi dalam aspek kualiti terhadap semua IPT termasuklah institusi TVET di rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), politeknik, kolej komuniti mahu pun institusi lain.

Menurutnya, beliau berharap masyarakat Malaysia dapat mengubah persepsi mengenai program TVET sekali gus memastikan peratusan lepasan sekolah menyambung pengajian ke lebih peringkat tinggi akan meningkat.

“Ini akan terus meningkatkan kebolehpasaran graduan program TVET yang amat diperlukan dalam pasaran kerja tempatan dan akhirnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

“Perkara ini juga akan membantu menjayakan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global seterusnya menarik minat pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di IPT tempatan sama ada dalam bidang TVET atau lain-lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya