JAKARTA: Malaysia kembali mendapatkan rentaknya dalam sektor pelaburan terutamanya pelaburan asing dengan tahap keyakinan semakin meningkat susulan usaha kerajaan menangani isu ketelusan dan rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini termasuk kemudahan menjalankan perniagaan selain mempercepat fasa kelulusan di pelbagai peringkat, terutamanya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menurutnya, menteri (MITI) memberi jaminan bahawa perkara itu akan berubah dan itulah sebabnya isu ketelusan dan menghapuskan ‘komisyen’ telah dibangkitkan.
“Terdapat perubahan dalam landskap politik yang seharusnya diterjemahkan kepada cara menjalankan bisnes. Agak banyak (minat pelabur) dan seseorang yang akan diketuai oleh salah satu konglomerat besar di sini (Indonesia), Chairul Tanjung, beberapa minggu akan datang dengan harapan untuk meneroka kemungkinan peluang di Malaysia.
“(Semuanya itu) akan diselaraskan dengan Tengku Zafrul (Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz) untuk menarik (pelaburan) mereka. Mereka sudah biasa dalam pelbagai bidang, perladangan, pembinan, tetapi apa yang kita perlukan ialah mendorong mereka ke sektor perkhidmatan, teknologi maklumat dan lainnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama media Malaysia selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia di Menara Bank Mega di sini hari ini.
Sesi sidang akhbar itu merupakan acara terakhir dalam rangka lawatan beliau ke Indonesia.
Sebelah paginya, beliau mengadakan pertemuan bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Bogor, Jawa Barat.
Enam isu utama digariskan termasuk isu berkaitan tenaga kerja Indonesia (TKI) di Malaysia khususnya yang bekerja sebagai pembantu rumah.
Kedua-dua pemimpin juga menyaksikan penyerahan Surat Minat (LOI) syarikat-syarikat Malaysia untuk bersama membangunkan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan.
Dalam isu berkaitan TKI di Malaysia, Anwar berkata, proses pengambilan dan penempatan pekerja akan dilakukan secara digitalisasi.
“Saya akan bincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyegerakannya,” tegasnya.
Menyentuh mengenai rasa kurang senang ramai rakyat Malaysia berhubung kos yang tinggi untuk menggaji pembantu rumah, Perdana Menteri mengakui perkara itu dan ia berpunca daripada kebergantungan kepada ejen.
“Ini adalah sebab meyakinkan kita perana ejen mesti dikurangkan. Kita perlu menghapuskan sebahagiannya. Mengapa kita mesti melalui proses itu? Mengapa mesti kita mengadakan temu duga fizikal (urusan pengambilan pekerja) sedangkan anda boleh, sebahagian besarnya, menghapuskannya kerana kosnya terlalu tinggi.
“Dan kadarnya tidak konsisten, ada yang mengenakan bayaran RM10,000 manakala yang lain mengenakan bayaran sehingga RM15,000 atau RM25,000. Ini perlu dihentikan,” tambahnya. – UTUSAN