PUTRAJAYA: Kes jangkitan Covid-19 yang semakin menurun dan tiada varian baharu dikesan sejak setahun lalu.
Atas pertimbangan dua faktor itu, maka, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan negara tidak akan dilanda gelombang baharu Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sejak setahun lalu, belum ada varian baharu Covid-19 dikesan selain Omicron.
Beliau berkata, buat masa ini, data juga menunjukkan kes jangkitan harian dan kemasukan ke hospital semakin menurun.
“Setakat ini hanya Omicron sudah ada dalam persekitaran, kita sedang memantau rapi sekiranya ada varian baharu,” katanya dalam sesi taklimat khas bersama media di sini, hari ini.
Katanya, keadaan itu sekali gus memberi keyakinan bahawa program vaksinasi yang dilaksanakan ketika ini masih mampu memberi ketahanan dan perlindungan kepada setiap individu.
Bagaimanapun, Dr. Noor Hisham berkata, KKM akan sentiasa memperketatkan kawalan dan meningkatkan langkah pencegahan sekiranya berlaku lonjakan peningkatan kes termasuk kes import.
“Kita akan perketatkan kawalan dan tingkatkan langkah pencegahan kalau ada varian baharu yang dikesan iaitu selain Omicron, atau pun ada peningkatan (kes) di klinik-klinik sentinel, mahu pun pengesanan varian baharu daripada sampel air kumbahan.
“Kita juga melihat sekiranya penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) atau wad melebihi 30 peratus, ini akan kita ambil tindakan, setakat ini kurang 20 peratus penggunaan, kes kematian disebabkan Omicron pun tidak meningkat, kalau ada kita ambil tindakan lebih ketat,” katanya.
Pada masa sama, katanya, KKM juga akan memantau sebarang peningkatan kes di negara jiran dan jika ada lonjakan kes maka, kawalan sempadan akan diperketatkan.
Jelasnya lagi, sebarang keperluan untuk KKM mempertingkat tindakan daripada yang dilakukan ketika ini, perlu bergantung kepada data dan fakta.
“Dalam tempoh dua minggu ini kes semakin menurun, kurang 500 kes berbanding antara 3,000 hingga 4,000 kes beberapa bulan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN