KUALA LUMPUR: Tujuan Barisan Nasional (BN) membuat surat akujanji calon pilihan raya bertujuan memberikan peranan Pengerusi BN mandat untuk membincangkan soal pembentukan kerajaan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal ini kerana kerusi yang dimenangi pada pilihan raya adalah merupakan milik parti.
“Taklimat Akta Anti Lompat Parti kepada Perhubungan Negeri dan keperluan menyediakan dokumen perjanjian calon dengan parti di samping penyediaan akuan-akuan bersumpah juga diberikan.
“Tujuan semua dokumen ini disediakan adalah untuk memperjelaskan bahawa kerusi yang dimenangi pada pilihan raya adalah merupakan milik parti.
“Malah akujanji pula memberikan Ketua Utama Parti, mandat untuk membincangkan soal pembentukan kerajaan,” katanya dalam ucapan dasar Presiden bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyebut lima proses BN bagi menghadapi PRU15 bagi menjelaskan pelbagai tohmahan, yang dilontarkan kepada parti ekoran kekalahan pada PRU-15.
Katanya, lima proses itu kesiapsiagaan gerak kerja dan jentera, penyediaan dokumen dan akujanji calon, persiapan logistik dan kewangan, proses pemilihan calon dan perbincangan dan perundingan dalaman serta dengan komponen BN.
“Saya sebutkan lima perkara utama ini, bagi menjelaskan pelbagai tohmahan, yang dilontarkan kepada parti ekoran kekalahan pada PRU-15. Kelima-lima proses yang saya sebutkan tadi, melibatkan semua lapisan kepimpinan dalam parti.
“Bermula dengan Timbalan Presiden selaku Pengarah Pilihan Raya, telah bergerak ke seluruh negara, melalui sesi libat urus dengan Perhubungan Negeri dan Bahagian-Bahagian. Selain menilai data-data yang ada, soal kesiapsiagaan diberikan penekanan,” katanya. –utusan