GEORGE TOWN: Kerajaan Perpaduan diminta menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berikutan akta itu didakwa bersifat kejam kerana tahanan tidak boleh diadili mengikut proses undang-undang.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy mendakwa, SOSMA juga dilihat sebagai akta yang bertentangan dengan perikemanusiaan kerana pihak berkuasa boleh menangkap sesiapa sahaja tanpa waran dengan hanya mempercayai pihak tersebut terlibat dengan kesalahan keselamatan.
“Individu boleh ditahan maksimum 28 hari tanpa dibicarakan di mahkamah dan akses boleh ditangguhkan kepada keluarga tahanan serta peguam sehingga 48 jam selepas ditahan.
”Malah, ikat jamin juga tidak dibenarkan kepada tahanan-tahanan, saya tidak bermaksud menyatakan tahanan SOSMA tidak bersalah, tetapi kenapa mereka tidak ditahan di bawah undang-undang sedia ada seperti di bawah Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah ahli keluarga kepada 33 individu dari Kedah yang dikenakan tahanan dibawah SOSMA sejak 2020 tanpa dibicarakan.
Menurut Ramasamy, pada masa ini terdapat lebih 100 tahanan di seluruh negara tanpa dibicarakan di mahkamah di bawah SOSMA.
”Kami gesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu mereka yang ditahan di bawah SOSMA supaya mereka boleh dilepaskan daripada tahanan dan kemudian dibicarakan di mahkamah.
“Kami juga menggesa Kerajaan Pusat untuk memansuhkan SOSMA, seperti kerajaan menghapuskan undang-undang kejam iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, tahanan-tahanan SOSMA telah melalui pelbagai keperitan seperti masalah kemerosotan tahap kesihatan, masalah kebersihan dan impak negatif psikologi semasa berada dalam penjara.
Jelasnya, kebanyakan tahanan SOSMA berusia muda iaitu 40 tahun ke bawah dan berasal dari keluarga berpendapatan rendah selain merupakan ketua keluarga yang menyara hidup ahli keluarga yang lain.
“Ahli keluarga tahanan SOSMA juga telah mengalami pelbagai keperitan terutamanya masalah kekangan kewangan yang serius bagi perbelanjaan sara hidup dan terpaksa mengeluarkan wang bagi mendapatkan khidmat peguam untuk mewakili tahanan,” katanya.
Selain itu, tambah beliau, keluarga kesemua tahanan SOSMA turut merayu kes difailkan terhadap tahanan supaya mereka dapat membantu tahanan mengikut undang-undang. – UTUSAN