Kerajaan kaji perkhidmatan guaman supaya beri manfaat kepada rakyat - Utusan Malaysia

Kerajaan kaji perkhidmatan guaman supaya beri manfaat kepada rakyat

AZALINA OTHMAN SAID 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula perkhidmatan guaman iaitu Jabatan Bantuan Guaman dan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan bagi memastikan faedahnya terus memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu diambil kerana perkhidmatan guaman adalah sebuah komponen penting untuk menegakkan keadilan.

Menurut beliau, tidak semua rakyat mampu membayar kos guaman bagi melantik peguam atas tujuan ingin mempertahan diri mereka.

“Oleh itu, sistem bantuan guaman yang sedia ada tersebut akan dikaji semula untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan akses kepada keadilan (access to justice).

“Akta Bantuan Guaman 1971 akan dipinda sekiranya perlu,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Bengkel Reformasi Institusi bersama Kementerian, Jabatan, Agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

Azalina berkata, sesi bengkel tersebut diadakan bagi mendapatkan input dan cadangan daripada pemegang-pemegang taruh, malah semua dapatan daripada sesi libat urut akan didokumentasikan serta dianalisis sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.

“Seramai 200 orang hadir program hari ini dan ada tiga bengkel atas tiga tajuk iaitu semakan dan pengemakinian undang-undang lapuk, tajuk kedua adalah institusi, integriti dan governans. Ketiga, sistem Keadilan Jenayah dan Hak Asasi Manusia.

“Saya taknak ambil pendekatan bahawa kerajaan sahaja betul, sebab itu kita buat program ini supaya kita dengar suara-suara pemegang taruh dan mana-mana institusi mahu menimbulkan isu-isu kepada situasi dalam tiga tajuk tersebut,” katanya.

Sementara itu, Azalina Othman yang juga merupakan ahli Parlimen Pengerang berkata, cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia iaitu badan bebas yang menangani aduan orang ramai terhadap agensi kerajaan akan dipertimbangkan.

Jelasnya, ia selari dengan agenda penting Kerajaan Perpaduan iaitu ketelusan dan integriti institusi.

“Ia juga salah satu masalah, kita tahu apabila individu itu pegawai kerajaan dia ada perlindungan di bawah perlembagaan. Tidak boleh main buang sahaja, paling teruk dipindahkan atau dikenakan tindakan disiplin.

“Apabila orang awam tidak berpuas hati, mereka boleh bawa aduan ke belah mana jadi itu mesti dinilai semula. Sebab itu juga, saya mahu dengar dapatan daripada bengkel kita adakan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya