PUTRAJAYA: Keputusan yang dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bakal melemahkan parti sekali gus memberi impak besar kepada kebangkitan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda UMNO, Syed Mohd. Syed Nasir berkata, Presiden sepatutnya perlu bijak membezakan antara dendam politik dan perjuangan yang mengimbangkan kuasa supaya Pakatan Harapan tidak bakal memusnahkan UMNO dalam diam.
“Tindakan-tindakan dan keputusan yang dibuat pada Mesyuarat MKT malam tadi akan dibalas rakyat pada PRN di enam negeri akan datang.
“Setiap tindakan atau strategi parti pasti akan ada timbal balik, dan impak yang bakal UMNO terima adalah pertaruhan yang presiden UMNO pertaruhkan.
“Ini masa depan parti yang dibuat sesuka hati oleh orang-orang yang membodek Presiden, mengangkat Presiden julang ke langit sehinggakan tidak sedar dengan kehancuran yang berlaku di bawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, bekas Exco Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak kecewa dengan keputusan MKT yang disifatkan bermotif peribadi sehingga parti dijadikan kuda tunggangan dan perisai untuk survival politik diri sendiri.
Katanya, ahli yang lantang bersuara menongkah arus ditakut-takutkan dengan terma proses ‘pembersihan’, ‘pemecatan’ dan ‘penggantungan’ dengan alasan ‘mensabotaj parti’.
“Proses pemecatan dan penggantungan pun tidak lagi dihormati, jauh sekali telus. Pihak yang dituduh ‘mensabotaj’ tidak pun diberi ruang bela diri.
“Kini ahli-ahli UMNO boleh menilai sendiri. Kepada Allah kita berserah,” katanya menerusi Facebook beliau. – UTUSAN