Kemuka input selesai isu perumahan demi kesejahteraan rakyat - Jasri - Utusan Malaysia

Kemuka input selesai isu perumahan demi kesejahteraan rakyat – Jasri

JASRI JAMALUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Fokus utama akan diberikan kepada proses menjalankan semak dan imbang membabitkan isu-isu perumahan di negeri ini dan memberikan input bagi mencari penyelesaian terbaik untuk kesejahteraan rakyat Pahang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, beliau berterima kasih kepada Perikatan Nasional (PN) Pahang kerana menubuhkan portfolio kepada semua 17 ADUN gabungan itu di negeri ini dan melantiknya untuk memberikan fokus isu berkaitan perumahan dan kerajaan tempatan.

Menurutnya, beliau akan menjalankan amanah tersebut bagi memastikan wujud elemen semak dan imbang dalam isu perumahan negeri kerana masih ramai rakyat yang belum mempunyai kediaman sendiri.

“Saya akan fokus kepada isu membabitkan anak-anak muda yang memohon rumah dan sudah bertahun-tahun masih belum dapat dari kerajaan negeri terutama kepada yang kurang berkemampuan.

“Tumpuan juga akan saya berikan kepada projek perumahan mampu milik, projek rumah murah, perumahan PR1MA dan skim-skim perumahan kerajaan negeri yang ada.

“Saya menyarankan supaya dilihat dan dikaji semula prosedur pemilihan dan kelayakan pemohon supaya kerajaan telus dalam pemberian tanpa mengira ideologi politik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Baru-baru ini, PN Pahang menubuhkan 18 portfolio tumpuan dipegang semua 17 ADUN gabungan berkenaan di negeri ini.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, portfolio tumpuan itu bertujuan membayangi kerja-kerja dijalankan oleh Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri.

Kata Saifuddin, penubuhan portfolio tumpuan itu sebagai suatu petanda bahawa PN Pahang serius untuk menjadi pembangkang yang konstruktif di negeri ini.

Mengulas lanjut, Jasri berkata, beliau juga akan memberikan fokus kepada projek Perumahan Generasi Kedua Felda yang banyak masih belum siap di tanah rancangan di negeri ini.

“Saya harap dapat memberi input berguna dan konstruktif kepada kerajaan negeri terutama Exco yang menjaga portfolio perumahan bagi mencari penyelesaian terbaik isu-isu berkaitan untuk kesejahteraan rakyat.

“Saya juga berharap kerajaan negeri dapat memberi kerjasama, maklumat-maklumat berkaitan, status terkini perumahan negeri untuk sama-sama kita memajukan negeri seperti yang disarankan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-15 Dewan Undangan Negeri yang lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya