BATU GAJAH: Kemasukan seramai 500,000 pekerja warga asing ke negara ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, jumlah kemasukan itu yang dirancang pada tahun ini adalah pekerja dari 15 buah negara Asia.
Menurutnya, jumlah itu adalah berdasarkan permintaan daripada sektor pekerjaan yang tidak diminati warga tempatan antaranya perladangan, pertanian dan pembinaan.
“Kita mendapati amat sukar mendapatkan pekerja tempatan untuk bekerja di sektor-sektor ini.
“Kebergantungan pada pekerja asing dalam sektor ini amat tinggi, apabila tidak dapat bekalan penawaran secukupnya, ini akan mengganggu operasi sektor-sektor ini secara optimal dan mengakibatkan kerugian besar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis penyalaan tanglung sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Pusing di sini malam tadi.
Sivakumar berkata, masalah kekurangan pekerja perlu diselesaikan segera kerana dibimbangi boleh menyebabkan ekonomi tidak dapat berkembang dengan baik terutama apabila lebih 700,000 pekerja warga asing pulang ke negara masing-masing ketika pandemik Covid-19.
Menurutnya, kementerian itu dan Kementerian Dalam Negeri yang mengadakan perbincangan baru-baru ini mencapai kata sepakat bagi mempermudah dan mempercepatkan proses permohonan pengambilan pekerja warga asing yang kini hanya mengambil masa tiga hari.
Beliau berkata, banyak perniagaan akan ditutup sekiranya tidak mempunyai pekerja mencukupi.
“Jadi sebelum keadaan menjadi parah, kita bekalkan tenaga kerja untuk operasi sektor-sektor yang memerlukan.
“Kerajaan akan mengambil langkah dalam usaha mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang dijangka melanda seluruh dunia,” katanya.
Oktober lalu, Ahli Majlis Pemulihan Negara, Datuk Michael Kang, dilaporkan berkata, negara memerlukan 500,000 pekerja asing bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja untuk perusahaan mikro, kecil, dan sederhana dalam menyokong proses pemulihan negara. – UTUSAN