Keluarga kru kapal kargo hilang harap mangsa selamat - Utusan Malaysia

Keluarga kru kapal kargo hilang harap mangsa selamat

MOHAMMAD SYAFARIZAN Mohd. Noor, 24, merupakan antara kru kapal kargo, MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 1 Januari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Keluarga salah seorang kru kapal kargo, MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 1 Januari lalu berharap anak mereka serta empat lagi kru kapal tersebut ditemukan dalam keadaan selamat.

Mohd. Noor Mat Isa, 53, yang merupakan bapa kepada Ketua Operasi kapal, Mohammad Syafarizan Mohd. Noor, 24, berkata, dia dan isteri hanya mampu berdoa supaya anak sulung mereka itu kembali ke pangkuan keluarga.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu daripada adiknya yang menonton berita di televisyen malam semalam.

“Saya dan isteri terkejut sebaik diberitahu mengenai kejadian yang menimpa Mohammad Syafarizan yang merupakan anak sulung dari tujuh beradik.

“Dia baru sebulan bekerja dan pertama kali belayar dengan syarikat kapal kargo tersebut.

“Kali terakhir dia membuat panggilan video dengan ibunya ketika baru keluar dari Selat Singapura menghala ke Timur Indonesia pukul 6.30 petang, 1 Januari lalu,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Noor memberitahu, dia dan isteri ada menghubungi Mohammad Syafarizan, namun gagal dan beranggapan anaknya itu berada di luar kawasan liputan.

“Naluri seorang bapa, saya berasakan dia dan rakann-rakannya selamat. Namun, cuma dua teori yang saya dapat jangkaan sama ada kapal yang dinaiki mereka karam atau rosak di lautan.

“Kami masih menunggu perkembangan terkini daripada pihak Maritim Malaysia (APMM) Johor. Petang tadi kami telah dikunjungi pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Laut Pulau Pinang,” ujarnya.

Selain Mohammad Syafarizan, empat lagi kru yang dikenal pasti ialah Mohammad Sudeh Sudin, 20, dan Derrent Littor, 22, manakala dua warga Indonesia ialah nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, serta Jurutera kanan kapal, Damai Papane Ole, 57.

Terdahulu, media melaporkan, kapal kargo membawa muatan sebanyak 527 besi paip yang dianggarkan bernilai kira-kira RM726,000 itu berlepas dari Jeti Kampung Aceh, Perak pada 23 Disember lalu dan sepatutnya tiba di lokasi di Kuching, Sarawak, 31 Disember lalu.

Lokasi terakhir kapal itu dikesan melalui sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia, 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya