ALOR SETAR: Kerajaan Kedah mengumumkan 5 Februari depan sebagai cuti peristiwa negeri ini sempena perayaan Thaipusam.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat EXCO, minggu lepas.
“Pemberian cuti peristiwa ini adalah bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada penganut Hindu di negeri ini untuk meraikan hari kebesaran agama mereka bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau turut berharap kepada rakyat yang bukan beragama Hindu untuk mereka memanfaatkan sebaik-baiknya pemberian cuti peristiwa berkenaan.
“Ini memandangkan ianya (Hari Thaipusam) jatuh pada hari Ahad yang berturutan dengan cuti mingguan negeri Kedah,” katanya. –UTUSAN