Kastam Perlis rampas 10 tan mercun berjumlah RM238,259 - Utusan Malaysia

Kastam Perlis rampas 10 tan mercun berjumlah RM238,259

ISMAIL Hashim (empat dari kanan) menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas menerusi penahanan sebuah treler pada Jumaat lepas di Kompleks ICQS, Padang Besar, Perlis dalam sidang akhbar di Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan mercun dan bunga api apabila merampas lebih 10 tan metrik bahan tersebut  dengan anggaran nilai RM238,259 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini Jumaat lalu.

Rampasan tersebut dilakukan selepas pihak kastam melakukan pemeriksaan ke atas sebuah treler yang membawa kepada penemuan mercun dan bunga api berkenaan yang disembunyikan disebalik timbunan guni berisi sabut kelapa yang memenuhi treler berkenaan.

Pemandu treler tersebut yang merupakan warga tempatan dan berusia lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

Pengarahnya, Ismail Hashim berkata, modus operandi sindiket berkenaan ialah dengan bertindak mengikrarkan barangan dagangan yang dibawa sebagai sabut kelapa menerusi Borang Kastam 1 bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, sindiket itu turut menempatkan 195 guni berisi sabut kelapa di belakang treler itu bagi menggelakkan kegiatan mereka dihidu anggota penguatkuasa sempadan.

“Berdasarkan siasatan awal, jumlah rampasan keseluruhan termasuk anggaran nilai cukai bagi mercun dan bunga api berkenaan adalah sebanyak RM238,259.80.

“Selain itu, pihak JKDM Perlis turut melakukan rampasan treler itu yang dipercayai digunakan bagi kegiatan penyeludupan berkenaan dan dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat JKDM Padang Besar di sini hari ini.

TRELER yang digunakan suspek bagi membawa mercun dan bunga api turut dimuatkan dengan guni berisi sabut kelapa dalam usaha untuk mengaburi mata pihak berkuasa. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Dalam pada itu, Ismail berkata, siasatan awal juga mendapati semua mercun dan bunga api itu dibawa masuk sebagai persediaan bagi sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Katanya, penahanan treler dengan muatan mercun berkenaan juga merupakan rampasan terbesar JKDM Perlis sejak tahun 2019.

“Mercun itu dipercayai untuk pasaran di sekitar Utara. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 133(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyeludupan di negeri ini boleh membuat aduan menerusi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau ke pejabat JKDM berhampiran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya