PETALING JAYA: Pemuda Pas dipercayai menawarkan tempat kepada pemimpin UMNO yang dipecat semalam untuk meneruskan kelangsungan perjuangan politik mereka.
Demikian gambaran jelas daripada satu hantaran Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari di Facebook, hari ini.
“Walaupun bahtera itu besar, jika jelas ia akan tenggelam, selamatkanlah diri dan orang tersayang. Kami tawarkan bahtera penyelamat. Datanglah menjadi keluarga,” tulisnya.
Malam tadi, media melaporkan, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Ray Umum Ke-15 (PRU15).
Selain itu, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuklah ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol Datuk Salim Mohd Sharif dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang. – UTUSAN