HAMPIR dua dekad berada dalam gelanggang seni sudah banyak kejayaan dikecapi buat pengacara dan pelakon, Sherry Al Hadad.
Namanya begitu laris menghiasi rancangan popular dan anugerah berprestij sehingga menjadi rebutan banyak stesen televisyen.
Saban tahun, ada sahaja mukanya di mana-mana rancangan hiburan seperti Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah MeleTOP Era dan Anugerah Industri Muzik.
Membuka tirai 2023, rezekinya makin bertambah selepas masih diberi kepercayaan mengemudi AJL Ke-37 bersama Jihan Muse.
Kini, Sherry atau nama penuhnya Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 38, merasakan sudah tiba masanya untuk menabur bakti dan menyumbang semula kepada masyarakat.
Katanya, dia mula terfikir untuk menubuhkan sebuah platform kepada anak-anak muda yang minat untuk mempelajari seni secara percuma.
“Platform ini khusus untuk golongan yang kurang berkemampuan. Contohnya, ada yang nak hantar anak ke kelas muzik tetapi tidak mampu.
“Saya nak bantu murid-murid dari sekolah rendah hingga menengah kerana mahu membentuk masyarakat ke arah kehidupan yang lebih baik menerusi seni,” katanya pada Pancaindera.
BANTU ANAK MUDA
Menurut Sherry, dia melahirkan kebimbangan apabila melihat anak-anak muda berkeliaran tanpa hala tuju, melepak dan membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah.
Sebab itu, terbit dalam dirinya keikhlasan untuk membantu mereka agar tidak hanyut dengan mehnah kehidupan yang akhirnya merugikan mereka kelak.
“Anak-anak ini mungkin tak tahu nak isi masa lapang mereka sebab itu melepak, hisap rokok dan buat perkara tidak tentu arah. Tambah pula ibu bapa sibuk bekerja jadi saya mahu platform seni ini dapat membantu menentukan hala tuju hidup mereka.
“Menerusi platform ini sekurang-kurangnya mereka boleh terlibat dalam aktiviti yang menyeronokkan serta memupuk minat baharu sekali gus dapat mengurangkan masalah sosial,” jelasnya.
Berkongsi pengalaman sewaktu bekerja di Padang Indonesia, Sherry berkata, dia kagum melihat bagaimana anak-anak di sana mengisi masa lapang mereka.
“Selepas habis solat isyak, semua remaja akan berkumpul untuk berandai. Maksudnya setiap malam ada kelas percuma untuk belajar silat, bermain muzik dan gendang.
“Sudah tentu golongan remaja akan seronok kerana dapat lakukan aktiviti secara beramai-ramai,” katanya.
Sudah pasti idea murni tersebut tidak akan bergerak dengan kudrat seorang individu semata-mata.
Menurut Sherry, dia berusaha mencari satu komuniti artis yang ‘sekepala’ untuk menterjemahkan idea ini secara realiti.
Sekiranya diberi peluang bekerjasama, dia mahu golongan selebriti yang mempunyai minat yang sama untuk mencurahkan bakti kepada masyarakat.
“Contohnya kalau nak mula dengan teater saya terfikir dan kolaborasi dengan Nad Zainal, Amyra Rosli, Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Nadiya Nisaa, Zahiril Adzim dan Amerul Affendi.
“Kalau bidang muzik dengan AG Coco sebab kami dari kelompok yang sama masa belajar di Akademi Seni Warisan Kebangsaan (Aswara),” katanya.
SUNTIK MOTIVASI
Cabaran dan kepayahan yang ditempuh Sherry sejak zaman awal pembabitan dalam dunia seni berjaya meletakkan namanya berada di kelas tersendiri dalam bidang pengacaraan.
Bakat yang dimiliki berjaya menangkis stigma kononnya kejayaan dalam bidang seni perlu selari dengan paras rupa.
Ternyata saiz bukan penghalang dan Sherry sudah membuktikan segala-galanya sehingga membuatkan keyakinan dirinya berada di pentas memberi suntikan motivasi kepada khalayak penonton.
“Saya selalu terima mesej peribadi daripada peminat yang bertanya bagaimana nak yakin dan bersemangat. Kadang-kadang saya pun tidak pernah terfikir pengacaraan yang dibuat memberi impak kepada masyarakat di luar sana.
“Jadi, saya terfikir nak buka kelas motivasi untuk memberi semangat kepada golongan wanita yang hilang keyakinan. Saya ini bukan jenis pandai bercakap atau bagi motivasi, tetapi lebih pada praktikal.
“Apa yang saya belajar di Aswara dulu banyak menjadikan siapa saya hari ini. Saya nak kongsikan kepada mereka bagaimana dapat bina keyakinan berlakon depan orang ramai dan menghilangkan rasa gemuruh ketika berada di atas pentas,” kongsinya.
IKUT RESMI PADI
Walaupun pernah bergelar Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2019, tidak timbul sekelumit rasa untuk meninggi diri dalam kamus hidup anak jati Selangor ini.
Sejak menuntut seni persembahan di Aswara, dia sudah diterapkan dengan adab untuk menghormati orang di sekeliling tanpa mengira usia.
Sebab itu, setinggi mana pun terbang tinggi di langit, Sherry tidak akan sesekali melupakan rumput di bumi.
“Itu yang saya belajar daripada guru-guru hebat semasa di Aswara. Sebagai pelakon memang kita yang berada di depan sebagai individu, tetapi kena ingat kita berjaya bukan sebab diri sendiri tetapi faktor di sekeliling yang memberikan kerjasama.
“Kalau nak berjaya perlu kenal dan hormat siapa di belakang kita, benda itu saya belajar dan terapkan sampai hari ini,” katanya.
Menurut Sherry, sebagai pelaku seni, dia juga tidak mahu dilayan acuh tak acuh oleh rakan seindustri dengan sentiasa memberikan layanan sama rata tidak kira pangkat mahupun status.
“Kita tak nak orang lain beri layanan teruk seperti tak nak bertegur atau layan endah tak endah lebih-lebih lagi kepada pendatang baharu dalam industri. Kita tak nak perkara sebegitu berlaku dalam industri.
“Saya akan layan macam biasa termasuklah orang baharu di lokasi. Ikutkan boleh sahaja nak berlagak tetapi saya pun tak nak orang lain bagi layanan teruk.
“Ikutlah resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. Itu yang saya belajar di Aswara untuk kekal lama dalam industri serta tidak kira di mana tempat kita berada,” katanya.
Keramahan dan sikap merendah diri membuatkan Sherry sangat disenangi ramai sehingga individu di sekelilingnya kerap menggelarnya sebagai ‘Yang Berhormat’.
Namun, katanya, gelaran tersebut bukanlah bermakna dia mahu terlibat dalam politik sekiranya ditawarkan peluang.
“Saya tak pernah terlibat dan tidak mahu terjebak dengan politik. Saya juga bukan seorang yang tahu hujung pangkal mengenai politik,” katanya.