Kalau ‘hasil’ judi RM400 juta pun saya hentikan - Sanusi

Kalau ‘hasil’ judi RM400 juta pun saya hentikan – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri langsung tidak terkesan dengan langkah menghentikan operasi premis perjudian di seluruh negeri itu, walaupun sektor berkenaan menyumbang pendapatan kira-kira RM400,000 setahun dari segi cukai, papan pengiklanan dan sebagainya.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sekiranya kerajaan negeri berupaya meraih sehingga jutaan ringgit sekali pun, langkah serupa tetap akan dilaksanakan kerana kesan aktiviti judi kepada masyarakat lebih teruk untuk diatasi.

“Saya dah tengok pada tahun 2021 keseluruhan pendapatan kepada kerajaan di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri untuk premis-premis perjudian hanya sekitar RM400,000 setahun sahaja.

“Kalau RM400 juta pun saya nak stop juga, ini kan pula RM400,000 lagi kena stop (kerana) kesan dia buruk, teruk. Nak ‘baiki’ masyarakat, ahli keluarga yang berselerak kerana bapa jadi tahi judi balik tabuh (pukul) anak, tabuh mak, juai harta, curi duit kerana gila judi lebih teruk daripada RM400,000 kerugian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, hari ini.

Kedah menghentikan pengeluaran lesen baharu kepada kesemua premis perjudian dan loteri di seluruh negeri bermula 1 Januari lalu setelah memutuskan perkara itu pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), November 2021.

Langkah itu menyebabkan tidak ada lagi premis yang menjual nombor ekor atau apa sahaja judi beroperasi pada ketika ini sehingga mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk DAP Kedah yang mahu keputusan itu dipertimbang semula kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak mengalami apa-apa kerugian rentetan membuat keputusan menutup operasi premis perjudian dan loteri di negeri itu selain tidak akan melayani apa-apa desakan untuk kajian semula terhadap langkah terbabit.

“Takdak kerugian apa-apa, malah ada untungnya (kerana) masyarakat kita selamat, insha-Allah. Tindakan itu saya harap dapat sokongan dan Allah berkati usaha yang kita buat ini kerana ianya selari dengan tuntutan Allah.

“Allah akan tolong kita dapat hasil lebih banyak daripada sumber lain di samping dapat selamatkan masyarakat kita daripada kerosakan disebabkan perjudian. Takdak orang jadi kaya kerana judi, tokey judi sahaja kaya (sebaliknya) tahi judi, tikam nombor, bomoh karang (ramal nombor) takdak seorang yang kaya, semuanya papa kedana,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta pihak berkuasa dan agensi-agensi berkaitan untuk memainkan peranan masing-masing bagi mengatasi dakwaan masih terdapat premis-premis yang beroperasi secara haram.

“Apa-apa kegiataan tidak berlesen ada agensi dan badan bertanggungjawab yang menguatkuasakan undang-undang. Kalau judi, pelacuran ada undang-undangnya dan kalau judi dalam talian ada agensi dan jabatan bertanggungjawab yang patut pantau perkara itu.

“Ini kerana kegiatan judi dalam talian tiada bidang kuasa kerajaan negeri, ianya di bawah Kerajaan Persekutuan dan jika mereka beralih kepada judi dalam talian saya harap agensi berkaitan ambil tindakan sewajarnya, saya hanya kuat kuasa apa yang ada bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya