PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima 54,000 permohonan bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan di negara ini bagi tempoh 2017 hingga 2022.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, 7,000 permohonan sudah diluluskan, manakala, 36,000 lagi permohonan sedang diproses.
Beliau berkata, baki 11,000 lagi permohonan terpaksa ditolak dan dibatalkan atas pelbagai sebab.
“Terdapat beberapa kategori permohonan termasuk di bawah Perkara 15A (Kanak-kanak di bawah umur 21 tahun dalam keadaan khas),
Perkara 16 (Orang yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka) dan Perkara 19/1) (Naturalisasi),” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Surat Keputusan Permohonan Kewarganegaraan kepada 28 penerima di Ibu Pejabat JPN, di sini hari ini.
Katanya, beliau di kementerian akan berusaha sebaik mungkin meneliti kesemua permohonan itu dan akan diberikan keutamaan sewajarnya.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata, pihaknya juga tidak akan sama sekali berkompromi dalam aspek keselamatan terutama dalam memproses permohonan kewarganegaraan itu.
“Ia adalah proses yang berterusan dan kami akan memastikan ia dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang sama ada perlu merujuk Perlembagaan atau pun peraturan sedia ada.
“Sejak mengemudi kementerian ini, saya bertekad untuk memudah cara proses permohonan kewarganegaraan ini termasuk mempercepatkan prosesnya,” katanya.
Katanya, buat masa ini, pihaknya tidak meletakkan sasaran untuk menyelesaikan permohonan kewarganegaraan itu, namun apabila tiba masanya ia akan dimaklumkan oleh kementerian. – UTUSAN