KUALA NERUS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengutip hasil lebih RM71.6 juta sejak Januari hingga November lalu, berbanding RM61.3 juta dalam tempoh sama pada 2021.
Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin, berkata, peningkatan kutipan itu dijana melalui pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu serta pengeluaran nombor pendaftaran kenderaan.
Selain itu, menurut beliau, jumlah bayaran kompaun yang dijelaskan pesalah jalan raya sebanyak RM2.28 juta turut menyumbang peningkatan kutipan hasil JPJ Terengganu.
“Kenaikan lebih RM10 juta dalam tempoh setahun ini juga didorong pertambahan jumlah kenderaan yang didaftarkan.
“Mengikut statistik, sebanyak 1.3 juta buah kenderaan baharu didaftarkan di seluruh negara setiap tahun dan ianya telah menambah kutipan hasil JPJ termasuk di Terengganu.
“Di negeri ini, sudah empat siri nombor pendaftaran berjaya dijual secara tender sejak Januari lalu. Jadi itu antara yang menyumbang kepada kutipan hasil kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Operasi Khas Ambang Tahun Baharu 2023 di Gong Badak, di sini, malam tadi.
Operasi itu turut disertai anggota JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Dalam operasi sehingga pukul 2 pagi itu, lebih 1,000 kenderaan diperiksa dengan 416 kompaun dikeluarkan selain turut menahan enam penunggang motosikal bawah umur 15 tahun.
Sementara itu, empat pengguna jalan raya turut dikesan positif bahan terlarang melalui ujian saringan manakala lebih 50 buah motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan.
Zulkarnain memberitahu, secara keseluruhan, sebanyak 224,760 buah kenderaan telah diperiksa sepanjang tahun ini dengan 29,949 buah daripadanya dikenakan tindakan manakala jumlah saman pula sebanyak 33,753.
“Tiga kesalahan paling tinggi dilakukan adalah penggunaan cermin gelap (8,669), tiada lesen memandu (6,504) serta lesen memandu yang sudah tamat tempoh (6,384).
“JPJ juga memandang serius kesalahan membabitkan kenderaan barangan atau kenderaan berat apabila 2,230 kesalahan lebih muatan dan muatan bahaya dikesan di negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN