IPOH: Sebanyak 700 kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara dalam tempoh 10 hari operasi bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2023 bermula 18 Januari lalu sehingga semalam..
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, tindakan itu diambil setelah pemandu mahupun penunggang atau pemilik kenderaan gagal menunjukkan sijil perlindungan insurans kenderaan.
Katanya, jumlah yang direkodkan itu juga menunjukkan peningkatan mendadak berbanding 200 kenderaan disita pada musim perayaaan sama tahun lalu.
“Daripada 700 kenderaan yang disita itu, sebanyak 591 sitaan adalah melibatkan motosikal.
“Peningkatan ini menunjukkan tahap kesedaran orang ramai dalam mematuhi undang-undang jalan raya masih berada pada tahap yang rendah.
“Jadi, tindakan tegas iaitu sitaan terpaksa diambil bagi memastikan kenderaan itu tidak berada di atas jalan. Ini kerana, jika berlaku kemalangan, ia bukan sahaja akan membahayakan pemandu dan penunggang malah pihak ketiga jika tidak dilindungi insurans,” katanya pada Operasi Bersepadu sempena Perayaan Tahun Baharu Cina Tahun 2023 di Plaza Tol Ipoh Utara arah selatan di sini malam tadi.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesalahan tidak memiliki insurans dilihat sebagai kesalahan yang sengaja dicuaikan pemilik kenderaan terutama motosikal.
“Kebanyakannya dilihat seolah-olah mengambil ringan sedangkan kalau diikutkan kos pembelian motosikal sebenarnya lebih mahal daripada kos memperbaharui insurans,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan beliau berkata, sepanjang Op Selamat 19 diadakan, tiada laporan diterima membabitkan kes pemandu memandu di bawah pengaruh alkohol.
Sebaliknya beliau berkata, terdapat lima kes pemandu bas ekspres atau persiaran dikesan mengambil barang terlarang dalam pemeriksaan di terminal bas di seluruh negara berbanding tujuh kes tahun lalu.
“Pemeriksaan dilakukan ke atas pemandu bas sebelum mereka memulakan perjalanan. Kita memang tegas dalam hal ini kerana tindakan tidak bertanggungjawab mereka akan beri bahaya kepada orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas operasi bersepadu yang dijalankan, sebanyak 158 notis dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap 921 kenderaan.
“Kesalahan tertinggi melibatkan tiada lesen memandu dengan 48 notis diikuti Lesen Memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (26), tiada perlindungan insurans (24), kesalahan teknikal (15) dan nombor pendaftaran (13),” katanya. – UTUSAN