ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri sedang mengkaji laluan laut baharu bagi menghubungkan Johor dengan Singapura melalui Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di sini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, laluan baharu itu dipercayai dapat memudahkan akses perjalanan antara Johor dan Singapura, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi di negeri ini.
“Saya sudah minta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar mengkaji dan melihat cara bagi membolehkan perjalanan dari terminal feri ini ke Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, Onn Hafiz meluangkan masa meninjau operasi terminal feri itu yang terletak di Puteri Harbour, di sini. Yang turut hadir, Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Ashari Kasnan; Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Bhd, Sufian Abdullah; Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin dan Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan, Dickson Dollah.
Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour yang dimiliki dan dikendalikan UEM Sunrise Bhd. adalah salah satu pintu masuk negara bagi memudahkan kedatangan pelancong melibatkan laluan antara Johor dan Indonesia.
Pada tahun lalu seramai 141,720 pelawat telah berulang-alik dari Batam dan Tanjung Balai, Indonesia menggunakan perkhidmatan feri di terminal berkenaan.
Menurut beliau, sejak 2019 hingga 2022, kira-kira 36 peratus pengunjung yang tiba di terminal feri ini adalah pelancong kesihatan yang mendapatkan rawatan di Johor.
“Ini membuktikan pentingnya penyediaan infrastruktur pengangkutan seperti terminal ini bagi terus menyokong pertumbuhan sektor ekonomi tempatan yang lain.
“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan UEM Sunrise Bhd. untuk menambah baik mutu perkhidmatan terminal feri ini bagi manfaat ekonomi dan rakyat Johor,” katanya. – UTUSAN