BENTONG: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Johari Harun menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga remaja lemas di Sungai Pertang, Mengkarak 1, berdekatan Felda Kemasul di sini semalam.
Johari turut menyantuni keluarga mangsa, Muhammad Firdaus Yuseri, 17, dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang berdepan musibah kehilangan insan tersayang.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu turut meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan keselamatan di sungai tersebut.
Muhammad Firdaus ditemukan lemas oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menjalankan operasi SAR pada pukul 3.55 petang semalam.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira 10 meter dari lokasi dia terjatuh di sungai sedalam kira-kira tiga meter itu.
Johari turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan semoga tabah di atas ketentuan Ilahi.
“Apa yang berlaku ini merupakan ujian Allah SWT. Semoga keluarga mangsa tabah menghadapi saat sukar kehilangan insan tersayang.
“Terima kasih diucapkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba Sukarela, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Skuad Sukarelawan Pelangai (SSP) dan semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Firdaus dikatakan pergi memancing di Sungai Pertang bersendirian dan dipercayai terjatuh ke dalam sungai tersebut pada pukul 9 malam kelmarin. – UTUSAN