JKN Selangor sita 1,415 hamper, periksa 33 limau mandarin - Utusan Malaysia

JKN Selangor sita 1,415 hamper, periksa 33 limau mandarin

JKN Selangor
PASUKAN penguat kuasa JKN melakukan pemeriksaan barangan terhadap 43 premis sekitar negeri ini dalam tempoh 9 hingga 13 Januari sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor mengarahkan 1,415 hamper yang berupa produk makanan bernilai RM6,872.68 dikeluarkan daripada rak pameran selepas didapati tamat tarikh luput dan bungkusan rosak seperti kemek dan berkarat.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas pasukan penguat kuasanya membuat pemeriksaan di 43 premis meliputi pasar raya, pasar mini, pusat pemborong dan kedai runcit sekitar negeri ini serta memeriksa 3,867 produk makanan pada 9 hingga 13 Januari lalu sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Malah, lima premis berkenaan turut dikompaun sebanyak RM20,000 kerana melakukan kesalahan  dibawah Peraturan 11(1)(j) dan Peraturan 14(9)(b) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Menurut Pengarah JKN Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman, hamper berkenaan kemudian disita di bawah Seksyen 4(1)(f) dan persetujuan pelupusan di bawah Seksyen 4(8), Akta Makanan 1983.

“Sekiranya premis terbabit gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh diberikan tindakan selanjutnya akan diambil dengan prosiding pendakwaan di mahkamah, Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000.00 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan JKN membuat pemeriksaan terhadap limau mandarin di kesemua premis yang diperiksa dan mengambil 33 pensampelan untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis parameter racun perosak.

Dr. Sha’ari menegaskan, tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil sekiranya keputusan analisis menunjukkan ada pelanggaran residu racun perosak mengikut Peraturan 41, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, sebuah premis pasar raya diarahkan ditutup selama 14 hari selepas diadapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983, iaitu tidak bersih.

“JKN Selangor sentiasa peka terhadap status keselamatan dan kualiti makanan yang dijual kepada orang ramai. Justeru itu, JKN Selangor akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai Operasi Keselamatan Makanan musim perayaan secara berkala dan berterusan sepanjang tahun.

“JKN Selangor ingin menyeru pengusaha pasaraya, pasar mini serta kedai runcit seluruh negeri Selangor untuk sentiasa memastikan produk makanan yang dijual di premis masing-masing mematuhi segala keperluan perundangan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Dr. Sha’ari turut menasihatkan pengguna supaya peka dan membaca label pada produk makanan serta memeriksa keadaan bungkusannya terlebih dahulu bagi mengelakkan terbeli produk makanan yang telah tamat tarikh luput ataupun mempunyai bungkusan yang rosak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya