Jeti nelayan, paya bakau 'port' dadah digempur polis - Utusan Malaysia

Jeti nelayan, paya bakau ‘port’ dadah digempur polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Jeti nelayan dan hutan paya bakau di sekitar Bagan Sungai Besar di sini, yang menjadi ‘port’ dadah terutama melibatkan nelayan asing digempur polis dalam operasi khas semalam.

Ops Tapis Khas bermula pukul 10 pagi itu membawa kepada penahanan 25 warga asing atas kesalahan dadah, jenayah dan imigresen selain rampasan berjumlah RM55,000.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, operasi selama 10 jam itu disertai 20 pegawai dan 148 anggotanya di lokasi yang dikenalpasti menjadi sarang penagihan dadah.

“Hasil risikan selama sebulan mendapati kawasan jeti nelayan dan hutan paya bakau itu menjadi tempat untuk mendapatkan bekalan dadah.

“Ini berikutan keadaan muka bumi di Bagan Sungai Besar adalah pesisir pantai yang menempatkan bot nelayan dan sebahagian penagih merupakan nelayan asing,” katanya yang mengetuai operasi itu.

Jelas beliau, pihaknya menjalankan  pemeriksaan ke atas 62 warga tempatan dan asing berusia 20 hingga 38 tahun.

“Siasatan membawa kepada penahanan masing-masing 11 individu atas kesalahan  kesalahan dadah dan pelbagai jenayah selain tiga tiada dokumen perjalanan sah. Baki 37 individu lain dibebaskan selepas  didapati tiada sebarang kesalahan dilakukan mereka,” ujarnya.

Kata Agus Salim, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 380, 379 dan 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. 

“Kita turut merampas 4,600 pil Yaba, 33.40 gram serbuk kristal syabu, 14 pil Eramin 5 dan empat pil Ecstasy.Dadah yang dirampas dipercayai bagi pasaran Bagan Sungai Besar dan enam port di hutan bakau turut dirobohkan,” katanya.

Tambah beliau, kesemua tangkapan dan rampasan dadah itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Agus Salim menegaskan pihaknya menerusi kerjasama orang awam akan menjalankan operasi secara berterusan bagi memastikan daerah ini bebas jenayah dan penyalahgunaan dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya