PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa bagi menyemak dan mengkaji semula dasar Pendidikan Tinggi Nasional.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa itu mempunyai masa selama tiga bulan untuk mengemukakan dapatannya dengan sebahagian besar mestilah bersifat saranan penambahbaikan yang diperlukan.
“Dapatan dan saranan penambahbaikan daripada jawatankuasa ini sangat kritikal atas beberapa sebab, pertama, kerana landskap pendidikan nasional hari ini sudah menjadi pelbagi rupa dan kedudukan serta peranan semua pihak mesti dilihat dan diperkemas semula.
“Kedua, segala yang berlaku di sekeliling kita, sama ada wabak kesihatan atau perubahan iklim atau krisis tenaga secara tidak langsung mengheret kita menjadi sebahagian daripada pemainnya,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Perutusan Tahun Baharu 2023 di sini hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, sektor pendidikan tinggi tidak lagi terbatas pada penyediaan graduan yang berkemahiran demi sebuah pasaran kerja, penyelidikan dengan deretan jurnal impak tinggi yang nilainya terbatas hanya kepada ‘prestij’ atau hanya sekadar menjalankan sebuah perniagaan yang berkisar tentang kelayakan ijazah.
Ini kerana katanya, pendidikan tinggi hari ini jauh lebih kompleks, rumit dan lebih mencabar.
“Kita memerlukan pelan dan strategi yang lebih sofistikated, lestari dan kontemporari. Paling penting, kita memerlukan pelan dan strategi yang akan menterjemahkan aspirasi nasional,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, beliau akan memastikan pemilihan kepimpinan di insitusi pengajian tinggi (IPT) serta segenap agensi lain, akan menjadi satu proses yang ketat, teliti dan objektif bagi mencari tokoh paling layak dan berwibawa.
Jelas beliau, ia akan menjadi satu proses pencarian yang terbuka, tidak politikal, tetapi mengutamakan mereka yang memahami aspirasi nasional.
“Kita mahukan semua kepimpinan IPT terutamanya naib canselor serta timbalan mereka menjadi pemimpin yang berkesan, pemimpin yang mengurus dan memimpin dengan harmoni serta menangani segala kepelbagaian dengan baik dan membongkar segala potensi dalam institusinya,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan semua naib canselor memikul empat tugas utama iaitu menjadi jurucakap utama institusi ilmu dalam isu nasional; membangunkan pelbagai jaringan strategik untuk kepentingan universiti; meraih dana, waqaf, endowment, infak dan apa jua sumbangan, material dan bukan material bagi memastikan universiti berfungsi sebaiknya dan membongkar potensi dan kebijakan setiap warga universiti.
Selain itu, Mohamed Khaled berkata, beliau juga akan menilai semula kedudukan KPT secara keseluruhan dari segi kemampuan, prestasi pencapaian dan misi masa depan.
“Pertama, kementerian ini akan melakukan pelbagai analisis perbandingan yang strategik berdasarkan pelbagai data pembangunan, pertumbuhan, pencapaian dan indeks kelestarian global.
“Kedua, kementerian ini akan menilai semula pelbagai pelan strategik yang ada. Adakah ia benar-benar strategik atau sekadar biasa-biasa. Trend memasukkan istilah ‘strategik’ pada setiap pelan sangat merisaukan, sedangkan kandungannya hanyalah kompilasi rujukan dan penyenaraian kajian-kajian lepas,” katanya. – UTUSAN