MANCHESTER: Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal ditunjukkan jalan keluar dari Piala FA selepas tumpas 0-1 kepada Manchester City pada pusingan keempat awal pagi ini.
Pemain pertahanan, Nathan Ake muncul wira City apabila menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk memastikan kemaraan skuad kendalian Pep Guardiola di Stadium Etihad.
Dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris itu terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama dengan Guardiola dan Mikel Arteta melakukan perubahan susunan pemain dalam pertembungan itu.
City bermula dengan baik dalam perlawanan itu namun, Arsenal mempunyai peluang terbaik mereka pada minit kelima menrusi rembatan kencang Takehiro Tomiyasu dari dalam kotak penalti namun, berjaya ditepis Stefan Ortega.
Erling Haaland yang mengetui jentera serangan City juga beberapa kali hampir memecahkan kebuntuan namun, dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Arsenal, Matt Turner.
Guardiola membawa Julian Alvarez daripada bangku simpanan pada awal separuh masa kedua, dengan penyerang Argentina itu memainkan peranan besar dalam gol kemenangan, rembatannya terkena tiang sebelum Ake menjaringkan gol pada minit ke-64.
Tersentak dengan jaringan itu, Arteta membuat perubahan dengan membawa masuk beberapa pemain termasuk kapten, Martin Odegaard namun, gagal untuk mencari gol penyamaan bagi mengheret City ke perlawanan ulangan.
“Perlawanan yang sangat sengit namun, separuh masa kedua lebih baik, Memang sukar, tiada seorang pun dalam bilik persalinan yang tidak begitu gembira untuknya (Ake).
“Kami gembira dengan gol itu dan bagaimana dia mengawal salah seorang pemain paling berbahaya dalam Liga Perdana sekarang iaitu (Bukayo) Saka.
“Sebagai pengurus anda mahukan pemain seperti Ake. Dia berhak mendapat semua perkara yang baik dalam permainannya,” kata Guardiola.-AGENSI