PUTRAJAYA: Suara kepimpinan Pemuda UMNO yang mahu jawatan Presiden dipertandingkan semakin hangat dan lantang diperkatakan dalam perhimpunan sayap parti itu sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hari ini.
Dalam ucapan perbahasan pergerakan itu, Ketua Pemuda Bahagian Bera, Khaizulnizam Zuldin berkata, UMNO telah ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, maka jangan tambah lagi kebencian orang luar kepada parti itu dengan tidak menukar kepimpinan.
Justeru, beliau berkata, adalah penting pertandingan jawatan tertinggi parti dibuka supaya UMNO boleh menang pada PRU16 sekali gus membuktikan demokrasi dalam UMNO subur, biar siapa pun yang mahu mencabar jawatan itu.
“Saya rasa Presiden telah keluarkan kenyataan dia tak takut, boleh lawan. Be gentleman Mr President, buka pertandingan dan lawan.
“Kita ini kalah tuan-tuan, jangan kita tambah kebencian orang luar kepada kita. Kita nak menang PRU16 tak kiralah siapa yang nak melawan itu, tapi demokrasi dalam UMNO perlu subur. Jangan kita sekat, kita sudah kalah,” katanya.
Sebelum ini beberapa pemimpin Pemuda UMNO menyuarakan pandangan sama agar jawatan tertinggi parti dipertandingkan bagi membuktikan keabsahan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk terus memimpin parti itu dengan sokongan padu seluruh ahli.
Ketua Pemuda UMNO Simpang Renggam, Mohd. Faizal Mohd. Said berkata, langkah itu juga sebagai bukti strategi Presiden diterima oleh akar umbi parti terutama dalam beberapa keputusan yang dibuat Ahmad Zahid sama ada benar-benar mencerminkan kehendak ahli atau sebaliknya.
Sebelum itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perlis, Noor Hairi Noor Mohammed berkata, UMNO akan dianggap sebuah parti diktator dan bukan lagi mengamalkan demokrasi jika usul dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Malah, jika ada usaha sedemikian benar direalisasikan, maka ia pasti akan mengakibatkan kesan amat buruk kepada UMNO. – UTUSAN