Jangan lenjan artis macam robot - Che Ta

Jangan lenjan artis macam robot – Che Ta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUDAYA melenjan pelakon dan kru produksi pernah dibangkitkan pelakon, Sharnaaz Ahmad yang mempertikai sikap segelintir produser yang disifatkan tamak semata-mata mahu menjimatkan kos.

Justeru, Sharnaaz menggesa pihak bertanggungjawab, termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) supaya memantau isu tersebut kerana ia boleh merosakkan reputasi industri.

Baginya, tindakan segera perlu diambil bagi memastikan kebajikan pekerja dalam sektor tersebut dapat dijaga sebaiknya.

Hangat Seminggu mengupas isu ini dengan mendapatkan sudut pandang pelbagai pihak yang terbabit dalam kerja produksi.

Mesin pun boleh berasap, ini pula manusia -Che Ta

BAGI pelakon dan pengacara, Rozita Che Wan pula, kebanyakan produksi terpaksa melenjan artis untuk kerja lebih masa demi mengurangkan kos produksi, terutama apabila bajet sesebuah penerbitan itu sangat kecil.

“Sebenarnya, kerja lebih masa bagi pelakon adalah perkara normal. Kami dilenjan atas alasan dibayar setiap hari. Jadi, lenjanlah dari pagi hingga ke pagi esoknya.

“Saya pernah kena lenjan bekerja dari pukul 8 pagi hingga 8 pagi esoknya. Selepas itu, saya serik dan tidak mahu berlakon dengan produksi begitu.

“Tetapi, itulah yang terpaksa dilakukan produksi untuk mengurangkan kos. Dapat bajet kecil, tunggu bayaran pula berbulan-bulan. Jadi, terpaksalah ‘henyak’ artis dan kru produksi,” katanya.

Namun, jelas Rozita yang lebih mesra disapa Che Ta, kebajikan kru produksi perlu diambil kira, terutama apabila ada segelintir produksi yang tidak membenarkan mereka mengambil cuti atas alasan kekangan bajet.

“Sekurang-kurangnya pelakon ada hari cuti atau hari tanpa babak untuk berehat. Tetapi, bagaimana pula dengan kru produksi? Mereka juga manusia, ada hadnya. Mesin kalau digunakan tanpa henti, berasap juga nanti.

“Perkara ini sudah berlarutan sekian lama. Perlu ada tindakan yang mengehadkan waktu kerja. Kemudahan dan kebajikan perlu dijaga. Tidak boleh lenjan kami macam robot,” katanya.

Dalam pada itu, Che Ta juga tidak bersetuju dengan budaya segelintir produksi yang menyebar cerita kononnya seseorang artis bermasalah hanya kerana enggan dilenjan sehingga berbelas jam sehari.

“Artis sekarang lebih cerdik. Mereka akan bersuara, meskipun mungkin ada yang takut digam atau dituduh buat perangai. Silap haribulan masuk berita, penerbit kecam artis.

“Sudah jadi satu hal, sedangkan ada artis sekarang mempertahankan hak sendiri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya