PUTRAJAYA: Kerajaan diminta tidak mempunyai muslihat tertentu dalam kes penahanan seorang Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan atas dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19.
Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin berkata, siasatan atau tindakan tidak boleh dibuat secara terpilih, sebaliknya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak tuntas dan berani menyelesaikan kes ini secara menyeluruh dan terbuka.
Beliau yang dikenali sebagai Che’gubard berkata, jika ada kesalahan maka lakukan pendakwaan, namun, ia diharap bukan bertujuan mengalihkan isu seperti mana usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipercayai sedang ‘membebaskan’ kluster mahkamah.
“(Kita berharap) siapa bersalah, didakwa. Kes yang berada di mahkamah perlu diselesaikan, bukan cakap mahmakah terbuka tapi lepas itu tiba-tiba pendakwa raya tarik balik kes.
“Ini adalah usaha mengalih isu demi isu dengan menggunakan medan kerajaan untuk berkempen menyalahkan parti itu parti ini dalam keadaan cuba mengalih perhatian rakyat terhadap kegagalan Kerajaan Perpaduan menyelesaikan masalah kos sara hidup, ekonomi malah mereka juga berkecamuk berperang sama sendiri seperti kemelut politik berlaku di Sabah,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat secara menyeluruh berhubung kes membabitkan penahanan seorang ketua bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan.
Ini berlaku selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 42 tahun berhubung dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19 sewaktu pentadbiran terdahulu.
SPRM pada Jumaat menahan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta kerana didakwa menjadi orang tengah dalam pengagihan projek kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi antara 2020 dan 2022.
Dalam pada itu, Che’gubard yakin dan percaya, partinya tidak akan melindungi dan berkompromi jika terdapat sebarang bentuk salah guna kuasa penyelewengan yang berlaku.
Sekalipun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalah, semua pihak bersedia untuk siasatan secara telus dan terbuka dilakukan. – UTUSAN