Jangan dekati, sentuh obor-obor Portuguese Man o'War - Utusan Malaysia

Jangan dekati, sentuh obor-obor Portuguese Man o’War

OBOR-obor jenis Portuguese Man o'War yang boleh mengundang bahaya kepada orang ramai ditemukan di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Pengunjung Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus, dekat sini dinasihatkan agar lebih berhati-hati berikutan penemuan obor-obor spesies Portuguese Man o’War yang beracun dan berbahaya di pantai tersebut, semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Rosman Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan obor-obor itu melalui paparan Facebook orang awam yang memaklumkan mengenainya.

“Berikutan itu, beberapa kakitangan telah membuat pemantauan di Pantai Seberang Takir dan menemukan bangkai obor-obor tersebut yang terdampar di pesisiran pantai tersebut.

“Makluman awal daripada orang awam sangat dihargai kerana ia membawa maksud masyarakat telah mula menyedari mengenai ancaman bahaya obor-obor jenis Portuguese Man o’War itu.

“Ia dapat menghalang orang ramai daripada mendekati atau menyentuh hidupan itu kerana sangat berisiko terhadap kesihatan dan nyawa manusia,” katanya ketika dihubungi, hari ni.

Semalam, tular di Facebook penemuan obor-obor jenis Portuguese Man o’War di Pantai Seberang Takir oleh orang awam yang turut mengingatkan pengunjung lain agar lebih berhati-hati.

Melalui ruangan komen, warganet saling menasihatkan pengunjung kerana obor-obor jenis Portuguese Man o’War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ itu masih beracun walaupun sudah mati.

Lebih merisaukan mereka kerana saiznya yang kecil dan berwarna lutsinar membuatkan haiwan itu sukar dilihat serta boleh mengundang bahaya kepada orang ramai yang tidak menyedari kedamparannya di pantai.

Mengulas lanjut, Mohd. Rosman berkata, hidupan itu adalah antara obor-obor yang berbisa dan sangat berbahaya terhadap manusia.

Menurutnya, obor-obor itu boleh melumpuhkan mangsa melalui sengatannya, selain boleh menyebabkan melecur pada kulit dan membawa maut.

“Justeru itu, orang ramai turut dinasihati untuk tidak melakukan sebarang aktiviti di pesisir pantai buat masa ini dan mengambil langkah berhati-hati dengan hidupan berbisa ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya