Jambatan rosak sukarkan penduduk 

Jambatan rosak sukarkan penduduk 

SEORANG penduduk melepasi jambatan yang rosak akibat banjir kilat baru-baru ini ketika tinjauan di Kampung Sahom, Kampar, Perak, semalam. -  FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Banjir kilat yang melanda Kampung Sahom baru-baru ini menyebabkan jambatan yang menghubungkan kampung itu ke jalan utama rosak dan tidak boleh dilalui kenderaan besar sehingga menjejaskan rutin harian penduduk.

Penduduk berkata, jambatan itu rosak akibat arus deras ketika banjir kilat pada Rabu lalu dan hanya boleh dilalui motosikal.

Seorang penduduk, Mat Radzi Karim, 60, berkata, terdapat sembilan buah rumah yang terjejas akibat kerosakan jambatan apabila kereta milik mereka tidak boleh melalui jambatan itu untuk ke jalan besar.

“Sepanjang 25 tahun tinggal di sini, kali ini paling teruk kerana bukan sahaja banjir tetapi jambatan juga turut rosak. 

“Ada sembilan kenderaan di kampung ini yang tak boleh nak keluar disebabkan jambatan ini rosak, tak tahulah nak macam mana nak buat. 

“Mahu tidak mahu, kami terpaksa guna motosikal walaupun keadaan jambatan tidak sempurna,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Sahom di sini semalam.

Menurutnya, mereka khuatir terhadap keselamatan kanak-kanak terutamanya pelajar sekolah di sekitar kawasan berkenaan. 

“Kita risau juga dengan pelajar-pelajar sekolah yang melalui jambatan ini. Kita harap pihak berkaitan boleh buat sesuatu untuk bantu penduduk terutama yang hendak bekerja dan bersekolah,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Lokman Ahmad, 61, menggesa kerajaan negeri termasuk pihak yang berkaitan bagi menyegerakan pembinaan semula atau baik pulih jambatan yang terjejas.

Menurut Lokman, kejadian berlaku disebabkan air terlalu deras sehingga merosakkan struktur jambatan.

Sementara itu, Pengerusi Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd. Azlan Helmi berkata, pihaknya sudah mengambil maklum perkara itu dan masalah yang dihadapi penduduk akibat kejadian itu.

Katanya, agensi berkaitan sedang menyiapkan keperluan bagi tujuan pembinaan semula dan baik pulih jambatan yang terjejas.

Azlan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata, sebanyak lima jambatan yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda kawasan perkampungan berkenaan sehingga menyebabkan 24 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sahom di sini.

Bagaimanapun, katanya, kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Setiap keluarga juga turut menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin sebanyak RM500 bagi meringankan beban ditanggung keluarga.

Terdahulu, PPS dibuka bagi menempatkan 94 mangsa yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Sahom, di sini pada tengah malam Rabu lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya