Jambatan rosak akibat mendapan tanah - Utusan Malaysia

Jambatan rosak akibat mendapan tanah

KEADAAN jambatan yang rosak akibat mendapan tanah di Kampung Durian Mentangau, Dungun, Terengganu. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Durian Mentangau di sini terdedah kepada bahaya apabila jambatan yang menjadi laluan utama rosak teruk akibat mendapan tanah dalam keja­dian banjir buruk, Disember lalu.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, sebahagian laluan di jambatan sepanjang kira-kira 10 meter itu terpaksa ditutup berikutan struktur jalan runtuh dan hanya satu laluan sahaja boleh dilalui pada satu masa.

Salah seorang penduduk, Mohd. Fadhil Mat Salleh, 38, berkata, penduduk di kampung itu bimbang sekiranya jambatan tersebut runtuh sepenuhnya pada bila-bila masa memandang­kan jalan itu merupakan laluan utama penduduk ke bandar Du­ngun dan Paka.

“Sebelum ini dah berlaku ba­nyak kali kerosakan, namun dah dibaiki. Mungkin sebab hujan lebat dan banjir teruk, berlaku hakisan dan mendapan semakin teruk hingga terbentuk lubang pada jambatan.

“Kami beranikan diri lalu jalan itu sebab jalan alternatif lebih jauh kira-kira 10 hingga 15 kilometer untuk ke bandar,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi penduduk, Zaidi Salleh, 45, berkata, dia yang se­ring ulang-alik ke bandar Dungun kini menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Che Lijah berikutan takut menggunakan jambatan tersebut.

“Lagipun, saya bawa ahli keluarga, bimbang kalau jambatan tersebut roboh. Saya sanggup lalu jalan jauh,” katanya.

Pegawai Daerah dan Tanah Dungun, Jusman Ibrahim berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memasang palang had ke­tinggian kenderaan bagi mengelakkan kenderaan berat melalui jambatan tersebut.

“Buat masa ini hanya ken­deraan ringan yang boleh melalui jambatan tersebut. Kerja-kerja pembaikian akan dilakukan selepas permohonan peruntukan JKR diluluskan pihak berkaitan.

“Kenderaan berat boleh menggunakan laluan alternatif melalui Kampung Che Lijah untuk ke bandar Dungun atau menggunakan laluan Felda Kerteh Dua dan Tiga untuk ke bandar Paka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya