CAMERON HIGHLAND: Penduduk Orang Asli mengibaratkan jalan menuju ke Kampung Belau-Pos Senderut-Kampung Labu sejauh 45 kilometer di sini, seperti ‘roti canai’ kerana terlalu banyak lubang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Batin Kampung Tual, Yok Ek Cantan, 59, berkata, jalan utama yang turut menghubungkan 21 kampung masyarakat Orang Asli itu hanya sesuai untuk cabaran kembara sukan lasak kenderaan jenis pacuan empat roda kerana banyak lokasi berlubang besar dan berbahaya kepada kenderaan kecil.
“Jalan Pos Senderut ini seperti jalan roti canai berlubang-lubang yang menyukarkan kira-kira 4,000 penduduk keluar masuk ke bandar. Penduduk semakin terpisah dengan dunia luar kerana sukar dilalui.
“Masalah ini kerap kali saya suarakan kepada pihak berkuasa tetapi bagaikan menjirus air ke daun keladi,” katanya ketika ditemui di Kampung Tual di sini, semalam.
Wartawan Utusan Malaysia yang menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk ke Kampung Tual terpaksa mengambil masa lebih satu jam berbanding 40 minit sebelum ini disebabkan kualiti jalan di situ yang teruk.
Yok Ek berkata, kualiti jalan di situ begitu rendah seolah-olah hanya ditabur batu dan disimen menyebabkan tidak sampai lima tahun ia pecah dan berlubang.
Sehubungan itu, katanya, penduduk merayu pihak berkaitan agar dapat membaiki segera jalan yang rosak itu supaya melancarkan perjalanan jualan hasil pertanian ke bandar.
“Terdapat banyak lubang dalam di sepanjang jalan itu yang menimbulkan bahaya kepada pengguna terutama pada musim hujan sehingga menyebabkan beberapa kejadian tidak diingini telah berlaku sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Chek Wok Tek, 40, berkata, keadaan jalan yang semakin rosak dan berlubang menyebabkan mereka terpaksa berhati-hati setiap kali melaluinya.
Katanya, masalah penduduk berganda jika berlaku kecemasan terutama membabitkan pesakit kronik dan ibu mengandung. – UTUSAN