SHAH ALAM: Stor simpanan kain langsir tingkat tiga dekat Wisma Jakel di Seksyen 7 di sini terbakar dalam satu kejadian dekat bangunan lot kedai tiga tingkat itu malam tadi.
Kejadian tersebut kembali berulang selepas keseluruhan lot kedai gedung tekstil cawangan Jakel itu hangus dalam kebakaran yang berlaku pada awal pagi kelmarin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.40 tengah malam tadi sebelum mengerahkan 10 jentera bersama 43 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian.
“Bomba tiba 12 minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan satu bilik simpanan kain langsir berkeluasan 1,200 kaki persegi di tingkat tiga dan kerja-kerja pemadaman sedang dilakukan oleh bomba. Kebakaran berjaya dikawal dari merebak pada pukul 1.45 pagi.
“Kebakaran berjaya dipadam pada pukul 3.07 pagi dan kerja-kerja overhaul sedang dilakukan oleh bomba. Bagaimanapun tiada mangsa tercedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, sebanyak tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terlibat dalam operasi pemadaman itu iaitu Shah Alam, Kota Anggerik, Puchong, Damansara, Sungai Pinang, Petaling Jaya dan Kota Raja.
Terdahulu, pada hari pertama kebakaran Jakel, sepasukan penyelamat dari tujuh BBP di kerah bagi operasi memadam kebakaran yang memusnahkan pusat jualan kain dan pakaian terkenal Jalan Plumbum itu.
Kebakaran kira-kira pukul 7 pagi itu melibatkan lot tiga tingkat premis pakaian terkemuka berkenaan. Seramai 38 anggota termasuk pegawai bersama tujuh jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.08 pagi. – UTUSAN