Jagalah isteri yang satu dengan baik - Edika Yusof - Utusan Malaysia

Jagalah isteri yang satu dengan baik – Edika Yusof

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengalaman melihat kesukaran ibunya membesarkan anak-anak selepas diceraikan membuatkan pelakon, Edika Yusof bertekad untuk terus mempertahankan kebahagiaan rumah tangganya.

Kata pelakon berusia 55 tahun itu, dia faham perasaan seorang isteri yang terpaksa berkongsi kasih dan berusaha untuk terus memberikan kebahagiaan kepada isteri, Nor Hidayah Yusri dan tiga anaknya.

“Bapa saya berkahwin lebih daripada satu dan ada juga saudara lelaki terdekat melakukan perkara sama. Apa yang saya lihat, bukan mudah bagi seorang suami yang berkahwin lebih daripada satu untuk memberikan keadilan menyeluruh kepada isteri dan anak-anak mereka.

“Saya melihat bagaimana sukarnya ibu membesarkan kami adik-beradik selepas diceraikan bapa.

“Sukar untuk saya ulas tentang perkara ini kerana kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang. Tetapi, apa yang boleh saya katakan jagalah isteri yang satu dengan baik.

“Letakkan diri kita dalam situasi, hati dan perasaan mereka. Sekiranya seseorang lelaki itu ditakdirkan berkahwin dua, mereka kena betul-betul berlaku adil,” katanya yang ditemui selepas sesi pratonton drama bersiri, Projek High Council, semalam.

Pelakon Maria Mariana ini pernah menjadi inspirasi ramai selepas kisah kesetiaannya menjaga Nor Hidayah yang lumpuh separuh badan tular, sedikit masa lalu.

Kata Edika, timbul kerisauan dalam dirinya apabila ada pihak yang datang dan meminta pandangannya berkenaan isu rumah tangga pengarah, Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana yang sedang tular.

“Memang risau apabila orang rujuk kepada saya tentang kisah rumah tangga orang lain. Saya bukan malaikat, hanya seorang suami yang mahu menjaga isteri dan anak-anak dengan baik.

“Sebagai suami, memang terasa tempiasnya apabila kisah begini diperkatakan ramai. Saya kena berhati-hati, pastikan hanya keluar dengan kawan-kawan lelaki bagi mengelakkan fitnah.

“Apa yang saya buat adalah untuk keluarga, bukan untuk orang lain,” katanya lagi.

Disoal tentang rahsia keharmonian rumah tangga, kata Edika, pasangan suami isteri perlu saling memahami dan jujur antara satu sama lain.

“Kami sama seperti pasangan lain, ada masa berselisih faham dan menyebut perkataan yang kami sendiri tidak suka ketika bergaduh. Tetapi, apa yang kami buat adalah berbincang dan cuba mencari penyelasaian kepada masalah yang timbul.

“Saya tidak mahu kongsi hal rumah tangga di media sosial. Perkara itu terlalu sensitif dan yang menanggung kesannya adalah anak-anak kerana mereka menjadikan ibu dan bapa sebagai contoh,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya