KOTA BHARU: Artis baharu perlu menerima dan memahami kritikan secara terbuka dan tidak terlalu sensitif jika mahu bertahan dalam bidang seni.
Vokalis kumpulan Azlan and The Typewriter, Nor Azlan Rosle Sallehudin berkata, kritikan adalah perkara biasa dalam industri seni.
“Jangan mudah ‘koyak’ , kalau ‘koyak’…tak lama dik,” katanya selepas diminta mengulas mengenai kritikan pedas yang dilontarkan oleh Mas Idayu terhadap Sissy Imann dalam program Famili Duo minggu keenam lalu.
Nor Azlan atau Azlan memberitahu, walaupun sudah berpelangaman dalam dunia artis, dia sentiasa terbuka mendengar kritikan atau teguran daripada senior walaupun perkara itu tidak sedap didengar.
“Pada saya, ia adalah karakter individu masing-masing, cara dia (Mas Idayu) memang macam tu, jadi yang baru-baru ni kena faham dia memang macam tu.
“Semua pihak perlu lebih profesional dan terbuka dengan kritikan yang diberikan oleh juri-juri yang telah ditugaskan. Bagi saya, dia cukup berpengalaman untuk mengkritik sesiapa yang dia mahu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azlan berkata, situasi sedemikian juga mempunyai pro dan kontra kerana sekurang-kurangnya isu ini dapat menghidupkan lagi industri muzik tanah air yang sebelum ini agak sunyi.
Sementara itu, menyentuh mengenai perkembangan terbaharu dalam karier seninya, Azlan berkata, dia akan terlibat dengan lagu runut bunyi filem Brother Geng.
“Setakat ini, judul single berkenaan sedang dalam proses dan belum diputuskan, Insya-Allah ia akan dilaksanakan tahun ini.
“Selain itu, saya juga ada menerima tawaran untuk berlakon, namun saya mengambil keputusan untuk fokus sepenuhnya kepada bidang nyanyian dan muzik sahaja,” katanya. – UTUSAN