KANGAR: Penganjur Karnival Jualan Lelong Utara telah mengemukakan surat permohonan maaf secara rasmi kepada kerajaan negeri Perlis dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) susulan daripada penularan isu persembahan nyanyian serta tarian yang berlebihan sewaktu penganjutan karnival itu pada Sabtu lalu.
Menerusi pertemuan bersama MPK semalam, penganjur terlibat turut mengakui kesilapan dan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh mereka sewaktu karnival berkenaan berlangsung.
Yang Dipertua MPK, Norazlan Yahaya berkata, pihaknya juga telah menerangkan pelanggaran syarat-syarat yang dilakukan oleh penganjur sewaktu pertemuan itu membabitkan acara persembahan atau hiburan di negeri ini.
“Sebarang penganjuran acara persembahan atau tarian hendaklah tidak melibatkan wujudnya percampuran yang menyalahi undang-undang syarak antara lelaki dan wanita.
“Malah penyanyi juga perlu menutup aurat bagi individu Muslim serta berpakaian sopan tanpa melakukan gerak badan memberahikan mahupun seni kata lucah yang boleh menyebabkan rangsangan kepada penonton.
“Penganjuran program seperti ini juga hendaklah tidak melibatkan percampuran antara lelaki dan wanita bukan mahram tanpa sekatan malah persembahan juga seharusnya menghormati syiar Islam serta sensitiviti penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 2 minit 18 saat memaparkan seorang penyanyi sedang membuat persembahan dengan melakukan tarian gelek yang memberahikan sehingga mengundang komen negatif dalam kalangan netizen.
Insiden itu dirakamkan sewaktu penganjuran karnival berkenaan yang berlangsung di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, di sini.
Dalam pada itu, Norazlan berkata, penganjur terlibat turut membuat rayuan agar permit karnival itu tidak dibatalkan dan dapat diteruskan mengikut jadual sehingga 5 Februari depan.
“Berdasarkan permohonan maaf tersebut dan mempertimbangkan kerugian bakal dialami oleh peniaga yang telah mengeluarkan perbelanjaan untuk menyertai karnival itu, MPK bersetuju membenarkan penganjurannya diteruskan dengan syarat hanya aktiviti jualan sahaja dibenarkan tanpa melibatkan apa-apa acara berbentuk hiburan.
“Manakala khidmat pengacara atau DJ dibenarkan untuk tujuan pengumuman dan hebahan jualan serta selingan ringan kepada pengunjung,” katanya.
Tambahnya, MPK juga sedang meneliti bentuk tindakan lanjut lain yang bersesuaian atau wajar dikenakan kepada penganjur terlibat.
“Dalam soal ini, MPK juga mengambil tanggungjawab di atas isu yang berlaku ini dan turut memohon maaf kepada kerajaan negeri dan seluruh rakyat Perlis atas kejadian yang tidak diingini ini.
“Langkah-langkah kawalan penganjuran yang lebih ketat akan diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang lagi di masa hadapan,” katanya.-UTUSAN