PUTRAJAYA: Tindakan sewajarnya boleh diambil bagi seorang jurulatih yang menampar dua pemain bola tampar seperti yang tular di media sosial ketika ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya akan meneruskan siasatan terhadap insiden itu bagi tujuan tatatertib.
Menurutnya, KPM memandang serius terhadap isu yang dilaporkan media berkenaan insiden tersebut.
“Satu sesi perjumpaan dengan ibu bapa murid yang terlibat akan dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laporan tersebut.
“KPM juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika ada laporan polis dibuat mengenai insiden tersebut,” katanya.
KPM berkata, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan.
Sementara itu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) menerusi kenyataan berkata, jurulatih terbabit digantung daripada melibatkan diri di dalam semua aktiviti Bola Tampar Kebangsaan sehingga siasatan selesai.
Menurutnya, MAVA menubuhkan satu badan siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut dengan serta-merta.
“MAVA juga akan berhubung dengan pihak-pihak yang berkaitan serta pihak berkepentingan.
“MAVA sama sekali tidak akan bertoleransi dengan sebarang penggunaan kekasaran ke atas mana-mana pihak serta bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan MAVA,” katanya.
Sebelum ini, satu video tular di medi sosial semalam berkaitan klip video yang melibatkan jurulatih Pasukan Melaka Bawah 14 Tahun (Wanita) yang didapati menampar dua orang pemain wanita pasukan tersebut. – UTUSAN