Isu mangsa ‘scam’: Kemboja serik, enggan layan NGO Malaysia

Isu mangsa ‘scam’: Kemboja serik, enggan layan NGO Malaysia

MOHD. Aini Atan dalam sidang akhbar kepulangan lima warganegara Malaysia yang diselamatkan di Kemboja di KLIA, Sepang. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan Kemboja tidak lagi akan melayan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia jika ada laporan mengenai kes mangsa penipuan tawaran pekerjaan.

Sebaliknya, pihak berkuasa negara tersebut hanya akan menerima maklumat rasmi yang disalurkan kedutaan Malaysia di Phnom Penh dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Langkah tegas itu, menurut Ketua Protokol dan Konsular, Kementerian Luar, Mohd Aini Atan, ini kerana pihak Kemboja ‘serik’ dengan laporan sensasi disebarkan NGO berkenaan.

“Justeru Wisma Putra memohon agar ibu bapa atau waris mangsa buat laporan kepada kita atau PDRM dan bukan lagi organisasi tertentu,” katanya dalam sidang akhbar di sini selepas mengiringi lima mangsa diselamatkan kerajaan Kemboja yang berusia dari 16 tahun hingga 42 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas lanjut, Mohd. Aini berkata, tindakan segelintir NGO di Malaysia yang melaporkan fakta salah mengenai isu jenayah itu boleh menjejaskan hubungan baik dengan Kemboja.

Bahkan negara itu dalam nada diplomatik, menyifatkan laporan ditularkan pihak terbabit selama ini mengguris perasaan mereka sedangkan situasi sebenar adalah berbeza.

“Berdasarkan pengalaman saya pernah jadi duta ke Laos, ada mangsa pulang ke negara itu sebab seronok kerja sebagai ‘scammer’ dan kerajaan tidak boleh halang pun,” katanya.

Pada masa sama ujarnya, pihak Kemboja yang menyiasat kes itu mendapati mangsa tidak diseksa teruk bahkan ada enggan diselamatkan apabila berjaya dikesan lokasi mereka.

Justeru, beliau menasihatkan NGO tempatan lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan sensitif kerana semua laporan media negara ini turut dipantau oleh pihak kedutaannya.

Mujur tambahnya, hubungan diplomatik erat dengan Kemboja membolehkan negara itu ‘berlembut’ meringankan tempoh tahanan di depoh imigresen yang sepatutnya lebih lama.

Malahan kata Mohd. Aini, meskipun ada didapati menipu konon menjadi mangsa, mereka tidak dihantar ke penjara tetapi hanya ditempatkan di depoh atas isu kesalahan imigresen.

Beliau walau bagaimanapun tidak menafikan ada NGO yang baik selain banyak membantu kerajaan dengan memberikan maklumat terus kepada pihak Wisma Putra dan PDRM.

Kementerian Luar ujarnya, turut memahami kebimbangan ibu bapa mangsa akibat laporan sensasi pihak tertentu bahkan mereka pun tidak ‘tidur’ bagi memantau kes berkenaan.

“Kerajaan namun memberi jaminan akan tetap melayan semua aduan keluarga mangsa kerana isu keselamatan rakyat Malaysia di luar negara memang jadi keutamaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya