Isu keciciran murid diberi perhatian - Fadhlina

Isu keciciran murid diberi perhatian – Fadhlina

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan memastikan isu keciciran murid diberikan perhatian sewajarnya tahun ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian secara dasarnya amat prihatin akan masalah pendidikan khasnya isu keciciran dalam kalangan pelajar, malah sentiasa mencari jalan penyelesaian ke arah sifar keciciran.

Beliau berkata, kementerian akan memastikan semua anak bangsa yang berada di negara ini berhak memperoleh kesaksamaan pendidikan walau di mana mereka berada.

“Justeru, pemantauan dan intervensi pihak sekolah ke atas murid yang berisiko cicir akan sentiasa dilakukan agar mereka kekal bersekolah sehingga tamat Tingkatan Lima,” katanya menerusi Amanat Tahun Baharu 2023 yang dikongsi menerusi Facebook hari ini.

Pada masa sama, Fadhlina berkata, beliau juga akan memastikan kebajikan warga pendidikan akan dititikberatkan dan menjadi titik fokus KPM.

“Setiap jerih payah tuan puan mendidik anak bangsa adalah mutiara yang tiada tolok bandingnya.

“Tahun 2023 adalah tahun untuk melakar sebuah wajah baharu pendidikan Malaysia dan ia akan dilakukan hasil kerjasama di peringkat pakar-pakar pendidikan.

“Kami akan merangkul kekuatan di peringkat pakar dengan menelusuri setiap denai dan mendorong anak kita ke peringkat terbaik dari sudut akademik dan sahsiah,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, ekosistem harmoni yang diterjemahkan dalam rangka murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera juga sejajar usaha mengangkat kemuliaan insan tidak kira latar belakang kaum, agama dan agama.

“Murid, guru dan warga pendidik yang berkongsi harapan ini pastinya dapat menggarap nilai kemanusiaan dan sekolah dapat menjadi medan yang bebas dari gejala negatif seperti gangguan seksual, buli, extremisme dan gangsterisme,” katanya.

Katanya, usaha memperkasa sistem pendidikan dan merealisasikan pembudayaan ilmu juga tidak boleh dibuat secara semberono, justeru setiap pemegang taruh perlu memberi maklum balas supaya solusinya dapat diterima oleh masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya