PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) akan bertemu wakil UMNO minggu depan bagi membincangkan soal berkaitan usul tambahan dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.
Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya, Nawardi Saad ketika ditemui hari ini berkata, tarikh dan perincian pertemuan belum lagi diputuskan.
Menurutnya, pihaknya setakat ini belum menerima laporan penuh mengenai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 termasuk berkaitan usul tambahan itu.
“Buat masa ini, kami belum lagi menerima laporan penuh PAU itu, namun pertemuan dengan UMNO akan berlangsung minggu depan,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan siasatan susulan dua aduan dibuat ahli UMNO berhubung isu sama baru-baru ini, Nawardi berkata, siasatan lanjut berhubung aduan itu masih berjalan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, beliau bersama peguam parti itu akan mengadakan pertemuan dengan ROS dalam waktu terdekat.
Difahamkan, pertemuan itu bagi menjelaskan intipati dan proses PAU baru-baru ini.
Malah, minggu lalu juga, dua ahli UMNO turut menghantar aduan kepada ROS supaya jabatan itu meneliti kesahihan usul tambahan jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO yang dibawa pada PAU baru-baru ini.
Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom mendakwa usul itu melanggar Perlembagaan parti. – UTUSAN