MELAKA: Masalah pengairan dan saliran yang membelenggu kira-kira 180 pesawah membabitkan 815 hektar keluasan sawah padi di Kampung Batang Tiga dekat sini, dijangka dapat diatasi menjelang 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, pembinaan infrastruktur dengan kos sebanyak RM29.4 juta bakal mengatasi isu kekurangan bekalan air.
Menurutnya, projek fasa kedua akan bermula melalui pengambilan tanah dan bayaran pampasan yang dijangka selesai Julai depan, sebelum kerja-kerja fizikal membina saluran paip dari Sungai Pulau Gadong hingga ke Kampung Batang Tiga bermula pada September.
Beliau berkata, projek tersebut memberi manfaat membolehkan penanaman padi dilakukan sebanyak lima kali untuk dua tahun berbanding dua kali setahun sebelum ini.
“Masalah pesawah di kampung ini sering bergantung kepada air hujan semata-mata, akibat tidak ada sistem pengairan dan saliran yang sempurna menyebabkan tanaman padi mereka sering terjejas khusus sewaktu musim kemarau dan banjir.
“Apabila projek fasa kedua ini siap dalam tempoh dua tahun nanti, pesawah tidak akan berdepan dengan masalah untuk mendapatkan bekalan air dan jika banjir, air dapat dikeluarkan dari sawah dengan cepat.
“Pembinaan saluran paip air akan dibina dari Sungai Pulau Gadong kerana ini sahaja sumber air paling hampir yang dapat membekalkan air kepada 180 pesawah dan mampu menampung keluasan sawah padi seluas 815 hektar,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di sawah di Kampung Batang Tiga di sini hari ini.
Ban Hong turut menyerahkan sebuah pam air bernilai RM1,000 kepada seorang pesawah, Mohd. Zubir Muhamat, 27, yang mengusahakan sawah seluas lima ekar.
Dalam pada itu, Mohd. Zubir berkata, masalah kekurangan bekalan air khususnya ketika kemarau sememangnya menjejaskan musim menanam padi.
Ujarnya, sejak mengusahakan sawah milik keluarga tiga tahun lalu, hasil padi amat terjejas kerana isu bekalan air yang berlarutan begitu lama. – UTUSAN