Ingatkan dipanggil jadi penyampai berita - Louisa Chong - Utusan Malaysia

Ingatkan dipanggil jadi penyampai berita – Louisa Chong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOUISA Chong, pelakon berketurunan Cina berbakat besar dan terkenal dengan lawak jenaka menerusi pelbagai sitkom yang dibintangi sejak 1988. 

Keletahnya bertutur dalam bahasa Melayu dengan bersahaja tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada skrip sentiasa mencuit hati penonton. 

Drama sitkom 2+1 yang disiarkan di TV3 dari 1989 hingga 1992 berjaya melonjakkan namanya dalam industri lakonan sehingga menjadi rebutan banyak produksi. 

Kebanyakan rakyat Malaysia mungkin masih mengenalinya sebagai Dr. Maggie Ong iaitu watak yang dilakonkan dalam drama tersebut yang menjadi revolusi bagi siri komedi di negara ini. 

Louisa, 67, berkata, detik pertama berjumpa pengarah, Othman Hafsham membuka laluan rezekinya sebagai pelakon apabila ditawarkan menjayakan watak dalam sitkom tersebut. 

“Ia cabaran buat saya kerana perlu bekerja keras dan berusaha menghafal skrip. Sehingga sekarang saya masih berusaha memperbaiki mutu lakonan walaupun sudah lebih 30 tahun berlakon. 

“Sitkom 2+1 begitu popular di TV3 dan selepas itu, saya mendapat tawaran berlakon sitkom Jangan Ketawa di ntv7 dan drama bersiri, Puteri di TV3 yang turut mendapat sambutan hangat,” katanya.

DRAMA 2+1.COM.MY GANDINGAN ARTIS BARU DAN LAMA DARI KIRI ZIELA JALIL , LOUISA CHONG , NINA JUREN HANIFF DAN NELLY NG.

JANGAN KETAWA 

Menurut Louisa, dia sangat menghargai setiap adegan yang dilakonkan sama ada filem, drama atau sitkom. 

Berkongsi pengalaman di set Jangan Ketawa, katanya, kesemua pelakon handalan tidak tahan gelak dengan karakter lucu masing-masing. 

Apatah lagi, nama pelawak seperti Dee, Moon, Rambo Chin, Harith Iskander, Ramasundran dan Robert sudah membuatkan mereka yang berada di set penggambaran tidak kering gusi dengan gelak ketawa. 

“Memang kami gelak sampai puas, tetapi ketika penggambaran kami serius dan komited dengan kerja. 

“Walaupun ada skrip, kami lebih banyak ad lib dan masing-masing bebas melontarkan dialog,” katanya.

BELAJAR DI LONDON 

Louisa yang dilahirkan pada 1956 mendapat pendidikan tinggi di London, England dan merupakan graduan Perakaunan. 

Anak kelahiran Perak ini pernah menjadi juruaudit junior di London dan merupakan satu-satunya juruaudit wanita di syarikat itu. 

Pelakon filem Baginda (1997) ini meraih pencapaian terbesar apabila pernah mengaudit akaun syarikat produksi yang menerbitkan filem epik, Star Wars. 

“Saya pernah berjumpa beberapa pelakon utama Star Wars, pengarah dan penerbit semasa mesyuarat dan pertemuan. 

“Ketika bertemu barisan selebriti tersebut, tidak pernah terfikir suatu hari nanti saya juga akan berada dalam industri sama,” katanya.

IMPI BACA BERITA 

Selepas lima tahun di England, Louisa atau nama Islamnya, Louisa Alissa Chong Abdullah kembali ke Singapura pada 1982. 

Louisa pernah bekerja selama setahun sebagai pengurus di butik fesyen dan haruman terkenal, Christian Dior dan dilatih untuk menguruskan kedua-dua butik di Singapura dan Kuala Lumpur. 

Walaupun bekerja dengan jenama berprestij yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, Louisa teringin mencuba bidang lain. Dia berminat untuk membaca berita. 

“Tetapi, selepas itu, saya terpaksa pulang ke Malaysia dan memutuskan ingin memulakan karier sebagai pembaca berita di sini,” katanya. 

Menurut Louisa, dia membuat permohonan kepada TV3 untuk menjadi pembaca berita sambilan. 

Katanya, dia tidak mahu menjadi pembaca berita sepenuh masa kerana mempunyai perancangan lain ketika itu. 

“Saya teringin jadi pembaca berita seperti Caryn Lim dan sangat teruja apabila mendapat panggilan TV3. 

“Namun, tanpa disangka-sangka, mereka tiba-tiba meminta saya menjadi pelakon pula. Saya kebingungan dan menganggap ia sebagai cabaran baharu,” katanya.

SUAMI STROK 

Louisa pernah berdepan dugaan menjaga suaminya, Hamid Samad yang menghidap penyakit angin ahmar, beberapa tahun lalu. 

Ternyata semangat wanita ini cekal kerana diberi kekuatan menjaga suami tercinta. Apatah lagi, strok yang dialami suaminya sangat serius sehingga muntah darah dan pernah koma. 

“Saya tidak tahu nak buat apa ketika dia koma. Kalau cerita, nanti orang kata saya sebagai selebriti minta simpati. 

“Saya tiada niat begitu, sebaliknya hanya mahu berkongsi pengalaman berdepan situasi  seperti itu dengan orang lain,” luahnya. 

Ketika ditimpa ujian, Louisa meletakkan kebergantungan tinggi pada Allah SWT. Louisa akhirnya memanjatkan kesyukuran selepas doanya termakbul dan suami kembali pulih. 

“Kita mesti meletakkan kepercayaan tinggi pada Allah SWT dalam mengharungi segala ujian kehidupan dan jangan sesekali putus asa. 

“Terima ujian dengan penuh keredaan kerana yakin Allah SWT sentiasa mendengar doa hambaNya,” katanya. 

Menceritakan kenangan menunaikan umrah di Tanah Suci, Louisa berkata, pengalaman tersebut tiada tolok bandingnya, apatah lagi ketika menunaikan solat buat kali pertama di depan Kaabah. 

“Alhamdulillah, saya sentiasa ingatkan diri supaya perbaiki kesilapan, muhasabah diri dan menjaga hubungan sesama manusia serta Pencipta,” katanya. 

KELUARGA TEGAS 

Louisa dilahirkan dalam sebuah keluarga yang boleh bermain alat muzik seperti ibunya yang mempunyai bakat bermain piano. 

Katanya, ibu dan bapanya adalah individu yang sangat tegas dan penuh disiplin. Sehingga sekarang, dia masih ingat pesanan mereka yang mengajar dia dan adik-beradik lain menghormati orang tua, berbudi bahasa dan sentiasa berterima kasih. 

“Kalau buat silap, mesti minta maaf dan berani bertanggungjawab. Itu antara nilai murni yang diajar kepada kami sejak kecil,” katanya. 

Disiplin yang tinggi itu membuatkan Louisa berjaya mendidik anak-anaknya yang kini melanjutkan pengajian di United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat. 

RAYA CINA 

Setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, sudah menjadi kemestian buat mereka sekeluarga meluangkan masa berkumpul bersama-sama. 

Semasa ibu dan bapa Louisa masih ada, seluruh ahli keluarga termasuk anak saudara serta cucu akan pulang ke Malaysia bagi menghadiri acara makan besar. 

“Kadang-kadang sampai tiga ke empat meja kita makan besar.

“Kami juga pernah berkumpul beramai-ramai di Singapura dan Hong Kong kerana ibu saudara dan sepupu ada di sana. Sekarang, ada yang menetap di New York dan Kanada,” katanya. 

Sempena tahun Arnab dalam kalendar Lunar, Louisa muncul dengan telefilem khas, Bedak Arang yang disiarkan di TV2. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya