Industri francais disasar tumbuh hingga 30 peratus

Industri francais disasar tumbuh hingga 30 peratus

AZMAN Mohd. Yusof (tiga kiri) memotong riben sebagai simbolik Majlis Pelancaran Outlet Oldtown White Coffee di IOI City Mall, Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan pertumbuhan antara 20 hingga 30 peratus industri francais negara pada tahun ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, sasaran pertumbuhan itu dijangka dapat dicapai sekiranya kesemua pihak yang terlibat memainkan peranan dalam mengusahakan suatu bentuk insentif yang baik.

“Pertumbuhan 20 hingga 30 peratus tahun ini adalah pencapaian yang baik, kita tak boleh kata naik sehingga 50 peratus sedangkan kita tahu faktor ekonomi ada cabaran yang akan dihadapi.

“Pertumbuhan ini boleh berlaku dengan syarat semua pihak memainkan peranan sama-sama mengusahakan bentuk-bentuk insentif yang baik kepada kumpulan francais ini tak kira sama ada KPDN, pihak berkuasa tempatan atau kementerian yang lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Outlet OldTown White Coffee di IOI City Mall di sini hari ini.

Menurut beliau, KPDN juga akan terus memberi sokongan penuh penglibatan masyarakat dalam sektor francais termasuk usahawan-usahawan yang ingin menaik taraf perniagaan mereka kepada sistem francais.

“Nilai ekonomi kepada perniagaan francais saya dimaklumkan mencecah RM25 bilion kepada ekonomi negara dan saya percaya ini dapat dipertingkatkan pada tahun mendatang sungguh pun tahun ini dikatakan tahun yang mencabar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, program-program promosi perniagaan francais di dalam dan luar negara juga akan terus dipergiat bagi menyokong penggiat serta usahawan francais mempromosikan perniagaan mereka.

Tambahnya, KPDN juga sentiasa berusaha memikirkan solusi dalam mempermudahkan lagi proses perniagaan francais dengan mengatasi masalah birokrasi supaya mereka yang ingin menceburi bidang tersebut segera mendapatkan kelulusan.

“Kalau nak buka outlet kemungkinan banyak terlibat dengan agensi lain, kita (KPDN) terlibat dengan memberi lesen. Mungkin kita akan duduk bersama agensi kerajaan (yang lain) untuk membicarakan semula apa yang boleh kita permudahkan.

“Kerajaan bantu dalam pelbagai aspek dari segi kebajikan, sebagai pemudah cara, mengembangkan dan mengaktifkan ekonomi dan dalam masa sama kita lihat bagaimana untuk mengatasi masalah berbentuk kerenah birokrasi ini, kalau boleh guna kaedah teknologi bagi menggantikan sistem konvensional,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya