Individu bakar al-Quran seolah-olah dilindungi Kerajaan Sweden

Individu bakar al-Quran seolah-olah dilindungi Kerajaan Sweden

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) serta organisasi yang mempunyai kapasiti sama, tidak akan berdiam diri dan tegas menunjukkan pendirian membantah tindakan koyak dan bakar al-Quran.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim mengajak supaya orang ramai bersolidariti bersama bagi menyekat budaya islamofobik terus menular dalam kalangan masyarakat.

“Pihak MHO akan bekerjasama dengan Mapim serta pertubuhan bukan kerajaan lain bagi memberi tekanan keras melalui pihak Kedutaan Sweden supaya individu dari parti berhaluan kanan tersebut diambil tindakan tegas.

“Individu tersebut seolah-olah dilindungi Kerajaan Sweden kerana tidak ada tindakan diambil dan semasa beliau membakar al-Quran tersebut, beliau serta pengikutnya dilaporkan dikelilingi anggota keselamatan, ini seolah-olah Kerajaan Sweden secara tidak langsung seperti memberi kebenaran dan merelakan tindakan individu ini membakar al-Quran,” jelasnya dalam kenyataan.

Sabtu lalu, ketua Parti Stram Kurs, Rasmus Paludan yang kini di bawah perlindungan polis mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk membakar senaskah al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm.

Tindakan itu menyebabkan negara Arab dan seluruh dunia Islam mengecam tindakan pelampau sayap-kanan Sweden-Denmark itu.

Dalam pada itu, Hishamuddin menyeru dan menggesa umat Islam di seluruh dunia, gerakan Islam yang ada untuk mengecam tindakan Islamofobik ini sebagai tanda solidariti.

“Kesatuan umat Islam perlu mempertahankan maruah umat Islam di samping mewujudkan tekanan kepada Kerajaan Sweden agar mengambil tindakan terhadap ahli politik ekstrem ini.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku yang mana membenarkan unsur-unsur ekstremis dengan mensasarkan umat Islam, menyebarkan kebencian terhadap kesucian serta nilai Islam dan menjadi contoh membimbangkan mengenai Islamofobia.

“Perbuatan ini bakal menjejaskan keselamatan dan kestabilan yang tidak konsisten dengan nilai menghormati orang lain, kebebasan kepercayaan, hak asasi manusia dan kebebasan asasi manusia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya